Saturday, January 26, 2013

Kepentingan Bahasa Kebangsaan/Bahasa Melayu


Dalam kerancakan penduduk jagat raya menari-nari bersama bayang-bayang pemodenan, kerajaan yang diumpamakan sebagai jantung negara mestilah menjalankan langkah proaktif bagi mengatasi setiap kemelut yang melanda negara kita. Seperti yang kita ketahui, slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ acap kali di wara-warakan di dada-dada akhbar, di corong-corong radio dan televisyen serta galakan daripada tokoh-tokoh terkemuka di negara kita sendiri. Namun begitu, masih ada lagi insan yang tidak menghargai bahasa kebangsaan sebaliknya mengagung-agungkan bahasa-bahasa lain terutama bahasa Inggeris dan sebagainya. Lantaran itu, setiap individu tidak sewajarnya memandang enteng terhadap perkara ini. Setiap pihak harus menggembleng tenaga dalam memartabatkan bahasa kebangsaan supaya bumi emas Malaysia dapat ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ setaraf dengan negara-negara membangun yang lain. Bahasa kebangsaan mempunyai pelbagai kepentingan terutamanya kepada masyarakat pelbagai kaum, yang berbumbungkan langit yang sama, dan bertanahkan bumi Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu.  

Pada zaman milenium ini, bahasa sudah biasa dijadikan sebagai cerucuk utama dalam melambangkan sesuatu bangsa dan negara. Bahasa merupakan satu simbolik perdana perdana dalam menentukan martabat bangsa dan negara. Bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dapat mengharumkan nama negara di seantero jagat ini. Sebagai contoh, ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, Tanah Melayu telah menjadi palabuhan entreport yang penting. Rentetan daripada itu, bahasa Melayu telah dijadikan bahasa perhubungan atau lingua franca di Asia Tenggara. Jelaslah di sini bahawa bahasa kebangsaan akan dipandang tinggi jika setiap rakyat berusaha menghargainya.

Peribahasa ada mengatakan, ‘tak kenal maka tak cinta’, yang jelas menunjukkan bahawa perlunya proses mengenali sebelum mencintai sesuatu. Begitu juga dengan bahasa kita. Dengan mengenali bahasa kebangsaan kita, kita sentiasa dapat menyemai sikap cintakan negara walau ke pulau manapun kita dicampak. Sebagai contoh, jika kita ditakdirkan menyambung pengajian di negara Barat, kita seharusnya memperkenalkan bahasa Melayu dan berbangga apabila bertutur dalam bahasa ini. Jika kita sudah terbiasa bertutur dalam bahasa Melayu, kita akan menjadi ‘alah bisa, tegal biasa’. Terbuktilah bahawa penghargaan kita terhadap bahasa kebangsaan mampu menjadikan kita memartabatkan negara kita sendiri.

Ketika zaman penjajahan British, orang-orang Melayu ditindas, dan ekonomi orang Melayu tidak memberangsangkan, lantaran itu, sifat British yang sering ‘menanam tebu di bibir mulut’ telah berjaya membawa masuk imigran Cina dan India sehingga melahirkan masyarakat majmuk di negara ini. Lantaran itu, bahasa kebangsaan amat penting sebagai ejen penyatuan dan perpaduan antara kaum di Malaysia. Bahasa Melayu juga telah dijadikan sebagai bahasa rasmi di negara kita. Kita dapat melihat semua bangsa Malaysia pada era ini menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan. Sebagai contoh, semua sekolah kebangsaan telah diseragamkan dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Hal ini bagi mengelakkan persengketaan antara kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 daripada berlaku lagi. Tegasnya, bahasa Kebangsaa mampu menjadikan setiap kaum di negara kita bersatu-padu persis kata mutiara, ‘ bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.

Darsawarsa ini, setiap negara sedang bersaing bagi menguasai alam jagat ini. Negara Malaysia pula sedang berusaha bagi merealisasikan Wawasan 2020. Dalam menjayakan wawasan ini, kita seharusnya mempunyai identiti sendiri yang mampu menaikkan nama negara di mata dunia. Warganegara Malaysia yang memasuki pertandingan atau perlawanan sukan hingga ke peringkat antarabangsa seharusnya memperkenalkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita. Sebagai contohnya, Datuk Lee Chong Wei yang telah menjadi Juara Badminton Dunia akan dikenali di seluruh dunia, dan sudah semestinya membawa sekali identiti Malaysia bersama-sama kejayaannya. Dengan itu, bahasa Melayu akan mula dikenali dari semasa ke semasa. Sebagai intihanya, bahasa Melayu mencerminkan identiti negara yang masyhur di persada dunia. 

Tanpa kita sedari, bahasa kebangsaan dapat meningkatkan taraf ekonomi di negara kita. Dalam mendepani arus globalisasi, rakyat di negara kita sedang menggembleng tenaga bagi mencapai kecemerlangan dalam kehidupan. Jika semua kaum dapat menjalankan aktiviti ekonomi dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantaraan, kita semua dapat bersatu untuk saling melengkapi. Masyarakat Melayu, Cina, dan India sentiasa berbincang dan bertukar fikiran tentang ekonomi dengan menggunakan satu bahasa. Justeru, setiap pihak akan jelas dan dapat merealisasikan matlamat negara kita iaitu untuk mencapai Wawasan 2020 yang berbaki lapan tahun lagi. Kita seharusnya bekerjasama persis peribahasa, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, namun begitu, tidak boleh ada kaum yang ‘bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Percayalah bahawa bahasa kebangsaan mampu dijadikan wadah dalam meningkatkan taraf ekonomi negara Malaysia bagi menuju visi dan matlamat Wawasan 2020.

Bahasa kebangsaan membawa pelbagai kemaslahatan kepada bangsa dan negara. Ada pepatah yang mengatakan, ‘hilang bahasa, lenyaplah bangsa’. Di sini jelaslah pada kita bahawa bahasa amat penting untuk mengekalkan keamanan negara. Memandangkan kita hidup dalam kelompok masyarakat majmuk, kita seharusnya mengutamakan bahasa Melayu, kerana bahasa kebangsaan inilah yang mengikat perpaduan antara kaum. Apabila semua masyarakat bertutur dalam bahasa Melayu, maka ‘alah bisa tegal biasa’ dan akan bercambah rasa cinta akan negara. Sesungguhnya bahasa kebangsaan mampu membawa keamanan antara kaum di Malaysia.

“Kita satu bangsa, kita satu negara, kita satu matlamat…” Begitulah sedikit bait-bait lirik lagu patriotik yang sering berkumandang di corong-corong radio dan di televisyen. Kesimpulannya, setiap pihak mestilah memainkan peranan penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan di negara kita. Hal ini dapat mendorong kita mencapai matlamat Wawasan 2020 seterusnya melahirkan masyarakat mawaddah dan sakinah. Namun begitu, hal ini hanya mampu direalisasikan sekiranya setiap warganegara Malaysia mencintai dan berusaha menaikkan nama Malaysia di seantero dunia. Jelaslah bahawa bahasa kebangsaan mempunyai kepentingan yang jitu untuk semua kaum di negara ini.

Friday, January 18, 2013

Rujukan Pentaksiran Berasaskan Sekolah

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) adalah satu sistem pentaksiran yang diperkenalkan dalam transformasi pendidikan. SPPK merupakan transformasi daripada sistem yang menumpukan kepada ujian pencapaian dan peperiksaan (berorientasi peperiksaan) kepada sistem yang lebih holistik. Tujuannya ialah untuk menyediakan satu set indikator untuk menilai potensi murid dan kesediaan untuk belajar, selain menguji penguasaan dan pencapaian. Pentaksiran adalah komponen penting dalam pendidikan kerana ia memberi maklumat mengenai perkembangan murid kepada guru, ibubapa dan murid itu sendiri. Hasil pentaksiran boleh membantu guru menilai kaedah pengajaran dan aktiviti yang dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kementerian prihatin terhadap dakwaan bahawa sistem pendidikan Negara terlalu berpaksikan peperiksaan. Justeru, Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 17 Disember 2010 telah bersetuju supaya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilaksanakan sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan. PBS merupakan satu usaha untuk membangunkan modal insan secara holistik melalui penekanan terhadap penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika serta moral yang tinggi seperti tercatat di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan seperti yang dihasratkan dalam Misi Nasional. PBS mula dilaksanakan di Sekolah Rendah pada tahun 2011 dan diperkenalkan di peringkat Sekolah Menengah pada tahun 2012. Justeru pada tahun 2016 murid-murid sekolah rendah akan menduduki UPSR yang telah ditambahbaik. Pada tahun 2014 pula PMR akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bentuk PBS.

1 APAKAH PBS?

PBS merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik yang mampu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS dioptimumkan untuk mentaksir bidang akademik dan bukan akademik. PBS memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran yang dijalankan di akhir satu unit pembelaran) yang berasaskan sekolah . Komponen PBS dalam sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi: - Pentaksiran Sekolah - Pentaksiran Pusat - Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum - Pentaksiran Psikometrik Pentaksiran Sekolah (PS) dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah di sekolah. Contoh instrumen pentaksiran yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian. Pentaksiran Pusat (PP) pula ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran. Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilaksanakan di peringkat sekolah dan ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan kesihatan, sukan dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstrakurikulum (contohnya penglibatan sebagai ahli kumpulan marhaban yang dianjurkan oleh JK Surau tempat murid tinggal dan aktiviti bermanfaat lain yang dianjurkan oleh pihak luar selain sekolah). Pentaksiran Pkisometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan (innate ability and acquired ability) semulajadi murid, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum.

2 APAKAH OBJEKTIF PBS?

Objektif pelaksanaan PBS adalah untuk:
· mendapatkan gambaran secara keseluruhan tentang potensi individu
· memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi individu
· membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individu Kesimpulannya PBS akan memastikan murid yang melalui sistem pendidikan negara mencapai taraf antarabangsa dalam bidang ilmu pengetahuan, kemahiran dan kecekapan.

3 SUBJEK APAKAH YANG DINILAI MELALUI PBS?

Semua subjek yang diajar di sekolah rendah dan menengah akan dinilai melalui PBS.

4 BAGAIMANAKAH GURU MELAKSANAKAN PBS?

Bagi memastikan kelicinan pelaksanaan PBS, guru seharusnya menggunakan Dokumen Standard Kurikulum yang mengandungi perkara-perkara yang patut dipelajari dan perlu disampaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran manakala Dokumen Standard Prestasi adalah rujukan utama untuk mentaksir dan mengukur penguasaan murid. Guru diberi pengiktirafan dan autonomi untuk menjalankan pentaksiran secara formatif semasa pengajaran dan pembelajaran ataupun secara sumatif diakhir unit pembelajaran atau pun di akhir tahun. Untuk mentaksir guru tidak semestinya menyediakan lembaran kerja bagi setiap kemahiran yang hendak dinilai. Evidens atau bukti penguasaan murid boleh diperolehi melalui pemerhatian, jawapan lisan, latihan dalam buku latihan atau buku kerja dan juga kerja rumah. PBS tidak membataskan kreativiti guru yang sudah tentunya lebih mengenali murid mereka.

5 APAKAH KELEBIHAN PBS?

Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan, iaitu menggunakan Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. Ia merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum. Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan (growth) murid dalam pembelajaran dengan merujuk kepada pernyataan standard. Murid-murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Pihak sekolah mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing.

6 APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN BAND?

Dalam PBS pencapaian murid dilaporkan berdasarkan band dan bukan lagi sebagai skor mentah seperti 81% atau pun gred A,B,C,D.
BAND STANDARD
6 Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Mithali
5 Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Terpuji
4 Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab
3 Tahu, Faham dan Boleh Buat
2 Tahu dan Faham
1 Tahu

Di Band 1, murid tahu perkara asas, atau boleh melakukan kemahiran asas atau memberi maklum balas terhadap perkara yang asas contohnya bagi Matematik murid di Band 1 mampu mengenal angka 1,2,3 ....

Di Band 2, murid menunjukkan kefahaman untuk menukar bentuk komunikasi atau menterjemah serta menjelaskan apa yang telah dipelajari contohnya murid tahu dan faham nilai angka seperti 24 lebih banyak dari 10 dan 55 kg lebih berat daripada 48 kg.

Di Band 3, murid boleh menggunakan pengetahuan untuk melaksanakan sesuatu kemahiran pada suatu situasi. Bagi matematik Band 3 menunjukkan murid telah menguasai operasi mudah tambah, tolak, darab dan bahagi. Murid yang telah mencapai Band 3 dianggap telah menguasai kemahiran asas dalam subjek tersebut.

Di Band 4, murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab, seperti tertib atau melaksanakan sesuatu mengikut prosedur dan secara sistematik seperti menyelesaikan operasi tolak dengan mendahulukan rumah ’sa’.

Di Band 5, murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab pada situasi baru, dengan mengikut prosedur atau secara sistematik, serta tekal dan bersikap positif. Bagi matematik murid yang mencapai Band 5 mampu menyelesaikan masalah seperti Berapa biji telurkah yang boleh dibeli oleh Ali dengan wang RM10.00 jika sebiji telur berharga 20 sen? Dan akhir sekali, di Band 6, murid mampu menzahirkan idea yang kreatif dan inovatif, mempunyai keupayaan membuat keputusan untuk mengadaptasi permintaan serta cabaran dalam kehidupan seharian serta boleh berbicara untuk mendapatkan dan menyampaikan maklumat menggunakan ayat yang sesuai secara bertatasusila dan menjadi contoh secara tekal.

Di Band 6 murid boleh membuat keputusan dalam masalah seperti membuat pilihan di antara kemeja biru yang berharga RM30.00 tetapi diberi diskaun 50% dan baju tawaran terbaik (best buy) yang sama kualiti dengan harga RM20.00. Band 3 boleh disamatarafkan dengan gred lulus. Justeru guru perlu merangka aktiviti pemulihan bagi membantu murid mencapai Band minima 3. PBS memberi autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran berdasarkan kesediaan murid. PBS membantu guru dan murid mengenalpasti kekuatan dan kelemahan murid semasa pengajaran dan pembelajaran berjalan. Sehubungan dengan itu guru bolehlah menyesuaikan aktiviti pengayaan atau pemulihan mengikut keperluan murid. Wajar diingat bahawa PBS tidak membandingkan murid dengan murid lain. Sebaliknya kejayaan murid diukur bersandarkan Standard yang harus dicapai di sesuatu tahap pembelajaran. Adalah diharapkan dengan cara ini tekanan ke atas murid dan guru dapat dikurangkan kerana murid tidak dibandingkan dengan kumpulan yang lebih cerdas atau terpaksa menunggu rakan lain yang belum menguasai sepenuhnya sesuatu kemahiran yang diajar untuk maju. Sekiranya dilaksanakan dengan baik dan terancang PBS bakal mewujudkan persekitaran yang harmonis dalam kelas untuk untuk perkembangan individu.

7 ADAKAH PBS AKAN MENAMBAH BEBAN TUGAS GURU? Sekiranya diurus dan dilaksanakan dengan bijak, guru akan mendapati bahawa PBS memberi banyak manfaat dan mampu mengurangkan beban tugas guru. Bagi membantu guru melaksanakan PBS, dua aplikasi ICT telah dibangunkan untuk memastikan guru tidak dibebani dengan tugas-tugas perkeranian. SPPBS (Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasakan Sekolah) and PAJSK (Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum) dibangunkan bagi merekod, menyimpan dan melapor perkembangan murid. Data yang disimpan boleh dicetak sebagai laporan apabila diperlukan.

8 BOLEHKAH GURU DIPERCAYAI UNTUK MENILAI MURID SENDIRI? Kebolehpercayaan kepada pentaksiran yang dijalankan oleh guru ditingkatkan melalui penjaminan kualiti. Semua hasil kerja murid dijadikan evidens yang perlu difailkan sebagai bukti yang menunjukkan murid telah menguasai kemahiran yang diajar. Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS dapat dicapai melalui:
a. Pementoran
b. Penyelarasan
c. Pemantauan
d. Pengesanan

Pementoran adalah proses membantu, memudah cara dan membimbing guru untuk melaksanakan PBS mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan dan boleh dilaksanakan secara formal dan tidak formal. Penyelarasan adalah proses penyeragaman skor dengan merujuk kepada Standard Prestasi yang disediakan bagi memastikan skor yang diberikan oleh guru adalah sah dan boleh dipercayai. Pemantauan pula ialah proses memastikan pelaksanaan PBS mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan arahan pelaksanaan PBS dipatuhi dan mengelakkan penyelewengan dan ketidakakuran. Pemantau Dalaman yang dilantik di peringkat sekolah dan Pemantau Luaran yang terdiri daripada pegawai PPD, JPN dan KPM terlibat dalam proses ini. Pengesanan pula adalah proses memastikan kekuatan dan keberkesanan instrumen pentaksiran yang digunakan bagi meningkatkan kesahan, kebolehpercayaan dan kebolehtadbiran instrumen pentaksiran. Pengesanan turut melibatkan guru dan pegawai KPM. Penjaminan Kualiti oleh guru mata pelajaran, Guru Cemerlang, Ketua Panitia, Ketua Bidang, Guru Besar, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia memastikan PBS dilaksanakan dengan baik seperti dirancang. Setiap individu yang terlibat dalam pembangunan atau pelaksanaan sistem pentaksiran pendidikan adalah bertanggungjawab menjamin kualiti dan mutu pentaksiran yang dikendalikan. Kualiti hendaklah menjadi tumpuan utama dalam semua aspek dan peringkat pentaksiran.

9 ADAKAH PBS SATU KONSEP BARU? PBS bukan konsep baru. Soalan, kuiz, latihan dalam kelas, kerja rumah dan projek adalah kaedah yang sering diguna pakai oleh guru untuk mengukur penguasaan murid dalam setiap kemahiran yang diajar.

10 PENUTUP Pentaksiran pendidikan di Malaysia bertujuan mendapatkan maklumat tentang prestasi murid bagi memperkembangkan sepenuhnya potensi setiap individu sebagai modal insan yang harmonis dan seimbang selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Apa yang jelas, proses penambahbaikan yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran menerusi PBS ini memberi gambaran bahawa sistem peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR bukan lagi bentuk penilaian tunggal dalam mengukur pencapaian murid menguasai pembelajaran. Lebih dari itu, ia diharap mampu melahirkan murid yang lebih cemerlang dalam semua aspek kerana pentaksirannya dilakukan daripada peringkat awal dan bukan sahaja terhad kepada bidang akademik tetapi juga merangkumi sahsiah, sukan dan kokurikulum. Murid-murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Pihak sekolah mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang. Pentaksiran yang berkualiti akan menghasilkan maklumat yang tepat dan menunjukkan keadaan sebenar tentang tahap pembelajaran murid. Maklumat yang tepat boleh membantu pembuat dan penentu dasar melakukan perubahan bagi tujuan meningkatkan pengajaran dan pembelajaran.

LEMBAGA PEPERIKSAAN KEMENTERIAN PELAJARAN Posted by KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Saturday, April 21, 2012

KEM MBM "BENGKEL KOMSAS" - Teknik Bedah Karya

Tarikh: 21 April 2012 (Sabtu), Tempat: Dewan SMK Manir, Kuala Terengganu, (7.30 pagi - 1.00 tengah hari) Penceramah:Puan Salina Musa (GCBM SMK Manir), Lagu Pembuka Semangat Pelajar (Mengikut nada lagu Tanya Sama Pokok) Tanya Sama Murid Tanya sama murid apa sebab gagal, Nanti jawab murid saya malas baca, Tanya sama saya sebab malas baca, Nanti jawab saya tanya guru bahasa. Guru nanti kata aku kandung ilmu, Sampai dalam kelas aku pun curah, Lihat dalam otak banyak ingin tahu, Cikgu sampaikan cubalah dengar. Wahai diri saya fikir dalam-dalam, Ilmu cikgu curah cubalah ingat, Cikgu tetap sabar ilmu cuba kongsi, Buat diri saya demi masa depan. Cita-cita saya cuba capai awan, Jauh di angkasa saya cuba terbang, Tapi dengan apa kalau sayap tiada, Dengan ilmu juga sayap dicipta.
Pelajar diperdengarkan Lagu Seloka Pak Kaduk (Roslan Madun)
Aktiviti yang dijalankan adalah: Nyanyian Seloka Pak Kaduk dan Pak Pandir, Deklamasi Sajak, Bedah Karya, dan Perbentangan setiap kumpulan.
Setiap pelajar memberi tumpuan terhadap aktiviti yang dijalankan dan berjaya melakukan aktiviti bedah karya dengan baik.
Pelajar berjaya membuat perbentangan kumpulan dengan berkesan.
Diharapkan agar Bengkel Bahasa Melayu kali ini dapat memberi impak kepada pelajar dari segi pembelajaran kendiri, dan berjaya menaikkan minat pelajar terhadap KOMSAS. Laporan: Puan Salina Musa, Ketua Panitia Bahasa Melayu, GC Bahasa Melayu SMK Manir, Kuala Terengganu.

Friday, April 20, 2012

PULAU REDANG 2011

Terlalu teruja untuk snorkeling, terfikir juga dalam hati, mana best di sini atau Pulau Kapas? Kamera Sony aku bawa bersama....dan inilah hasilnya..
Saya suka pic ni. hasil terbaik yang sy snap dalam laut tu.
Cikgu Rosdei dengan aksi beraninya...hehehhe
Cikgu Mustafa...cantik pic ni tapi bkn sy snap.
Batu karang... cantikkan?
Bagi ikan makan..
Bila sy renung-renung, fikir-fikir, sy lebih suka ke Pulau Kapas bila nak snorkeling..but, Pulau Redang ni cantik sangat dari segi view tepi laut....kalahlah tempat lain. Dari segi taman laut, sy lebih suka Pulau Kapas..
ISLAND HOPING....best3...hehehe

Thursday, April 12, 2012

PROGRAM PEMBANGUNAN PENGKARYA GURU KPM Siri 1/2012, 6-8 April 2012, Flamingo Hotel see by the lake, Ampang, Kuala Lumpur

Dalam pengembaraan seorang aku, aku tak pernah berganjak dari menuju apa yang kumahu...kucuba sedaya meski kadang-kadang kudrat tidak mengizinkannya. Meski kadang-kadang aku gagal meraihnya, sekurang-kurangnya aku telah mencuba.

Wednesday, March 28, 2012

Pelakon 1400 'Pak Sudin' - Mustaqim

Babak dalam Drama 1400

Teks Ucapan Pengetua Sempena Hari Anugerah Pelajar



Bismillahirrahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Bukan jauh terlerai jodoh,
Mengapa menderu kenangan lebaran;
Bersatu teguh bercerai roboh,
Harapan dibahu buat kejayaan.

Saudara/Saudari Pengacara Majlis,
Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahin bin Dato’ Haji Mohd Said, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu, Merangkap Yang Dipertua PIBG SMK Manir,
Yang di Hormati En. Ariffin bin Ali, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Kurikulum, Teknik dan Vokasional,
Guru-guru Penolong Kanan, Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, Guru-guru Cemerlang, guru-guru, para ibu bapa seterusnya pelajar-pelajar yang diraikan sekalian.
Saya ingin merafakkan kesyukuran kehadrat Ilahi kerana masih diberi peluang sekali lagi untuk bersama-sama Tuan-tuan, Puan-puan serta hadirin dan hadirat sekalian daalam majlis yang penuh bersejarah kepada seluruh warga SMK manir pada pagi ini. Bagi pihak sekolah, saya ingin merakamkan penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ kerana sudi hadir bagi merasmikan majlis kita pada pagi ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
SMK Manir telah dirasmikan pada 30 Julai 1986 oleh YAB Menteri Besar Terengganu, dan telah diketuai oleh 10 orang pengetua sebelum ini. Saya merupakan pengetua ke-11 dan mula bertugas pada 1 Feb 2012. Bilangan murid sehingga kini ialah seramai 1502 orang selepas seramai 150 orang murid ke SMK Jeram pada awal Januari yang lepas, iaitu murid-murid Tingkatan 2 dan 4. Kita juga mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PKI) dengan seramai 29 orang pelajar. Bilangan guru pula seramai 135 orang dan staf bukan guru seramai 21 orang.
Yang Berhormat Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan,
Tahniah saya ucapkan kepada warga SMK Manir atas kecemerlangan yang telah dicapai dalam peperiksaan awam baru-baru ini. Berdasarkan keputusan PMR 2011 seramai 2 orang calon memperoleh 9A dan 8A semua mata pelajaran, iaitu Nor Hayatun Rahimah binti Rosli dan Nur Arina Diyana binti Padelah Shaimi. Sementara seramai 40 orang calon mendapat keputusan sekurang-kurangnya 4A. Keputusan Lulus Penuh Mata Pelajaran juga meningkat iaitu 54.77%, dengan Gred Purata Sekolah 3.12 berbanding 46.39% pada tahun 2010. Sebanyak 5 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan peratusan iaitu Kemahiran Hidup KMT, Kemahiran Hidup ERT, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, dan Sejarah.
Bagi SPM 2011 pula, kita juga telah mencatatkan peningkatan kelulusan Layak Mendapat Sijil iaitu 95% berbanding 91.1% pada tahun 2010. Hanya 16 orang pelajar sahaja yang Tidak Layak SPM, dan calon yang mendapat 5 Kepujian ialah 54.7% berbanding 51.6% pada tahun sebelumnya. Calon yang lulus semua mata pelajaran meningkat sebanyak 43.5% berbanding 37.9% pada tahun sebelumnya. Gred Purata Sekolah Sekolah bagi SPM 2011 ialah 5.91 berbanding 6.02 pada tahun 2010. Sebanyak 10 mata pelajaran yang mencatatkan kelulusan 100% iaitu Sains Pertanian, Ekonomi Rumah Tangga, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah, Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Seni Visual, Fizik, Pengetahuan Sains Sukan, Menservis Motosikal dan Biologi. Manakala sebanyak 8 mata pelajaran menunujukkan peningkatan kelulusan iaitu Bahasa Melayu, Sains, Matematik Tambahan, Pendidikan Islam, Sejarah, Bahasa Inggeris, Lukisan Kejuruteraan dan Ekonomi Asas.
Tahniah dan syabas kepada 4 orang murid yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2011 iaitu Muhammad Hafiz bin Hussin (9A 2B), Nor Atikah binti Ramli (9A 2B), Fatin Nor Amalina Othman (8A 1B), dan Nurul Maisarah binti Mustaffa (8A 3B).
Seterusnya bagi STPM 2011 pula, sebanyak 45% pelajar telah mencatatkan keputusan 4P, 18.33% bagi 3P, 11.67% bagi 2P dan 16.67% bagi 1P. Gred Purata Sekolah pala ialah 2.10 dengan sebanyak 91.67% Lulus Penuh. Tahniah kepada pelajar terbaik STPM 2011 iaitu Wan Ahmad Amiruddin bin Wan Mohamad yang telah mencatatkan 3.42 NGMP. Beberapa mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan dari segi peratusan iaitu Pendidikan Seni Visual 3, Geografi, Sejarah 2, Ekonomi, Bahasa Malaysia 1 dan MUET.
Tahniah dan syabas sekali lagi kepada semua pelajar-pelajar cemerlang yang telah mengharumkan nama sekolah dalam peperiksaan awam baru-baru ini.
Tuan-tuan dan hadirin hadirat sekalian,
Saya bersyukur kerana pelbagai program yang telah dijalankan iaitu pembestarian PMR, SPM dan STPM dengan memberi fokus kepada aktiviti kecemerlangan akademik seperti MBMMBI (Memperkasa Bahasa Melayu, Mempertingkatkan Bahasa Inggeris, Kem-kem Bestari, Tautan Kasih, Solat Hajat Perdana, Temu Murni dan Akujanji Pelajar telah memberi impak yang positif dalam merealisasikan kejayaan para pelajar. Namun, program-program-program ini akan diperkasakan lagi dengan program-program Sahsiah, Disiplin dan Kokurikulum yang akan dan sedang dijalankan sekarang seperti;
Sahsiah
- Bacaan al-Quran dan Tazkiran Pagi
- Solat Hajat
- Solat Berjemaah
- Sambutan Maulidurrasul
- Orientasi T1, T4 dan T6
- Kem Bestari Solat
- Kem Imam Muda
- Program Penghayatan Ramadhan
- Hala Tuju SPM
- Qiamulail
- Program Sekolah Penyayang
- Kem Kepimpinan Dakwah
- Kem Bina Insan
Disiplin
- Buku Peraturan Sekolah
- Pertemuan Ibu Bapa
- Bimbingan Kaunseling
- Memujuk Pelajar Ponteng
- Program Bersama Pelajar Perempuan
- Penampilan Diri Kemas dan Berdisiplin
- Bulan Disiplin
- Minggu Anti-dadah
Kokurikulum
- Kejohanan Merentas Desa
- Kejohanan Olahraga
- 1Murid 1Sukan
- Minggu Kokurikulum
- Hari Koperasi Sekolah
- Perkhemahan Unit Beruniform
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Saya amat berbangga kerana sekolah ini telah meraih beberapa kejayaan, antaranya mengekalkan kejuaraan Lorong Anti-dadah Sekolah Menengah peringkat negeri Terengganu, Pengurusan Kantin Terbaik dan beberapa anugerah lain dalam bidang sukan dan kokurikulum. Tahniah kepada Muhamad Muslim bin Yusof kerana dipilih sebagai Tokoh Khas Kokurikulum Sekolah pada tahun 2011 kerana berjaya mengharumkan nama sekolah dalam bidang sukan olahraga. Kita berharap agar sekolah ini dapat mengekalkan kegemilangan yang telah dicipta.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Saya juga berbesar hati memaklumkan bahawa kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar bagi merapatkan jurang pendidikan selaras dengan agenda utama dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar. Bantuan persekolahan yang disediakan mampu memenuhi matlamat dalam memastikan semua sekoalh dan murid mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk mencapai kecemerlangan sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Sejumlah RM20,092.28 telah diperuntukkan oleh kerajaan kepada setiap murid sekolah menengah iaitu dari Kementerian Pelajaran Malaysia ialah sejumlah RM18,799.50 dan dari Kerajaan Negeri melalui Program Anjung Ilmu iaitu sebanyak RM1292.78 bagi seorang murid. Peruntukan-peruntukan ini disediakan sama ada berbentuk biasiswa seperti Biasiswa Kelas Persediaan Universiti, BKP, Skim Pinjaman Buku Teks, Bantuan Pakaian Seragam Sekolah, Bantuan Bayaran Tambahan Persekolahan, Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Baucar Buku 1Malaysia dan sebagainya. Peruntukan yang besar daripada kerajaan ini diharapkan dapat menjana kecemerlangan pendidikan di negara kita selaras dengan cita-cita negara bagi melahirkan pelajar-pelajar dan modal insan yang mampu memartabatkan nama negara di persada antarabangsa. Diharapkan agar tuan-tuan dan puan-puan dapat memberi galakan dan semangat kepada anak-anak kita untuk terus maju jaya memandangkan kerajaan telah membelanjakan sejumlah peruntukan yang besar bagi menjamin kecemerlangan mereka.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Saya bagi pihak sekolah juga amat berbesar hati mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ kerana sudi memberi sumbangan untuk kecemerlangan sekolah kita. Antara sumbangan terbaru ialah Hadiah Kecemerlangan Dato’ Mohd Said, iaitu memberi penghargaan berbentuk wang tunai kepada pelajar yang telah mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam. Pada kali ini, ucapan tahniah perlu kita berikan kepada penerima sulung anugerah ini iaitu, Muhammad Hafiz bin Hussin, Nor Atikah binti Ramli, Fatin Nor Amalina binti Othman dan Nurul Maisarah binti Mustaffa, yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2011. Diharapkan Hadiah Kecemerlangan Dato’ Mohd Said ini dapat menjadi perangsang kepada pelajar-pelajar ini untuk terus berjaya dengan cemerlang, seterusnya juga dapat memberi dorongan kepada pelajar-pelajar lain untuk terus berusaha bersungguh-sungguh dalam bidang akademik.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Saya bersyukur kerana mendapat kerjasama yang padu daripada semua guru dan warga sekolah yang sanggup menggalas tugas dengan penuh komitmen bagi kecemerlangan pelajar umumnya. Harapan saya agar sekolah kita mampu terus menjana kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Harapan saya untuk kecemerlangan di sekolah ini ialah;
- Memperkasakan kualiti komitmen kerja pendidikan dan persekolahan bagi melonjakkan pendidikan dan persekolahan
- Komitmen, kejujuran dan keikhlasan dalam kalangan warga sekolah
- Memperkasa permuafakatan dalam organisasi melalui kerjasama yang erat dalam kalangan warga sekolah serta ibu bapa
- Semua guru perlu fokus kepada visi dan tanggungjawab untuk membangunkan sekolah sebagai sekolah pilihan masyarakat
- Melahirkan murid cemerlang akademik, sahsiah, dan kokurikulum
- Fokus gred kepada minimum C serta penguasaan semua subjek
- Guru dapat melakukan anjakan paradigm bagi merealisasikan sasaran sekolah
- Membudaya dan memperkasa kajian tindakan di dalam bilik darjah
- Pelaksanaan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) di sekolah
Saya juga berasa sungguh bertuah kerana mempunyai barisan PIBG yang prihatin dengan pembangunan pendidikan anak-anak di sekolah ini. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Dato’ selaku YDP PIBG sekolah ini yang sentiasa memastikan dan mengambil cakna terhadap kecemerlangan pelajar.
Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada semua murid yang berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum. Begitu juga kepada para guru yang berhempas pulas dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mendidik anak-anak kita. Wajarlah hari ini pihak sekolah memberi penghargaan atas usaha dan penat lelah mereka. Diharapkan anugerah ini terus membakar semangat masing-masing untuk terus maju jaya. Pihak sekolah juga terhutang budi kepada Yang Berhormat Dato’ dan barisan PIBG yang lain dan kami mengucapkan ribuan terima kasih.

Pohon sirih pohon selasih,
Tumbuh merimbun di hujung laman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Menjadi kenangan sepanjang zaman.

Terima kasih.

Wednesday, July 20, 2011

FORMAT MENULIS KARANGAN

Format Menulis Karangan Surat Kiriman Tidak Rasmi
• Surat kiriman tidak rasmi bersifat peribadi. Biasanya ditujukan kepada sahabat handai dan ahli keluarga terdekat.
• Surat kiriman tidak rasmi ditulis untuk bertanyakan khabar, menyampaikan ucapan takziah/tahniah, berkenalan, dan sebagainya.
• Format:
a. Alamat pengirim ditulis pada sudut atas sebelah kanan surat.
b. Tarikh ditulis di bawah alamat dan dibubuh tanda noktah.
c. Langkau sebaris sebelum menulis pendahuluan surat.
d. Gunakan nama panggilan hormat yang sesuai sebelum menulis isi surat seperti ayahanda, bonda, kekanda, adinda, cucunda, saudara, saudari, dan sebagainya.
e. Tulis isi-isi surat secara tersusun di dalam perenggan.
f. Gunakan ungkapan seperti Yang ikhlas sahabatmu, Kekanda yang jauh, dan sebagainya sebelum menurunkan tanda tangan.


Contoh Surat Kiriman Tidak Rasmi

Anda tidak pulang ke kampung. Tulis sepucuk surat kepada datuk dan nenek anda untuk menjemput mereka tinggal bersama-sama keluarga anda semasa cuti persekolahan penggal pertama. Panjang karangan itu hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

13, Lorong Raja Alang, Kampung Datuk Keramat,
50030 Kuala Lumpur.

3 Mei 2005

Menemui Nenda Ahmad dan Nenda Som yang tersayang semoga sihat dan gembira selalu. Cucunda di sini sihat walafiat.

Nenda,
Terlebih dahulu, cucunda ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak pulang ke kampung menziarahi nenda berdua. Hal ini demikian kerana ayahanda dan bonda tidak dibenarkan memohon cuti. Pada masa ini semua cuti untuk pegawai-pegawai kerajaan dibekukan.

Oleh itu, cucunda berhasrat hendak mengajak nenda berdua tinggal bersama-sama cucunda sambil menikmati keindahan Bandar raya Kuala Lumpur pada musim cuti persekolahan penggal pertama ini. Pasti nenda berdua berasa gembira kerana kekanda Rosnah yang tinggal di asrama juga akan pulang bercuti. Kami amat merindui nenda berdua.

Ayahanda dan bonda juga berhasrat hendak mengadakan kenduri pada Mei 2005 kerana pada hari itu ialah hari jadi adinda Fuad yang kelapan. Ayahanda dan bonda ingin mengundang sanak saudara kita yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur. Alangkah seronok dan meriahnya jikalau nenda berdua ada bersama.

Sekiranya nenda berdua dapat datang, silalah hubungi cucunda segera melalui telefon atau surat dengan menggunakan alamat di atas. Ayahanda akan mengirimkan tiket kapal terbang kepada nenda berdua dengan segera.

Akhir kata, sambutlah salam saying daripada cucunda seisi keluarga. Sekian, terima kasih.

Cucunda yang jauh,
Idham Bahari


Format Menulis Karangan Kiriman Rasmi


1. Surat kiriman rasmi berbentuk formal. Biasanya, ditujukan kepada majikan, pertubuhan, jabatan kerajaan, organisasi, dan orang tertentu.
2. Terdiri daripada beberapa jenis, iaitu surat aduan, surat rayuan, surat pesanan, surat undangan rasmi, surat permohonan, dan surat edaran.
3. Ditulis dengan menggunakan bahasa yang baku, ringkas, dan padat.
4. Format:
- Alamat pengirim ditulis pada sebelah kiri surat.
- Garis panjang melintang dibuat di bawah alamat pengirim.
- Nama dan alamat penerima ditulis di bawah alamat pengirim. Baris akhir alamat penerima hendaklah digariskan.
- Tarikh ditulis dengan alamat terakhir penerima dan diakhiri dengan tanda noktah.
- Panggilan hormat ditulis di bawah alamat penerima seperti Tuan, Puan, Datuk, Cikgu, dan sebagainya.
- Perkara atau tujuan surat ditulis di bawah nama panggilan hormat.
- Perenggan pertama dimulakan dari tepi dan tidak perlu dinomborkan. Perenggan isi yang berikutnya hendaklah bermula dengan nombor dua dan seterusnya.
- Turunkan tanda tangan di sebelah kiri surat kiriman. Tulis nama dengan huruf besar dalam kurungan. Tulis jawatan pengirim jika ada.

Contoh Surat Kiriman Rasmi

Selaku ketua pasukan bola sepak, anda telah diminta oleh guru penasihat untuk mengadakan pertandingan persahabatan dengan sebuah sekolah yang berhampiran. Tulis surat tersebut selengkapnya. Panjang karangan anda hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

Pasukan Bola Sepak,
Sekolah Menengah Kebangsaan Manir,
21200 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.


Tuan Pengurus,
Pasukan Bola Sepak,
Sekolah Menengah Kebangsaan Belara,
21200 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman. 16 APRIL 2006.

Tuan,
Perlawanan Bola Sepak Persahabatan

Kami amat berbesar hati sekiranya pasukan bola sepak sekolah tuan dapat mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan bola sepak kami

2. Tujuan perlawanan persahabatan ini diadakan untuk menjalinkan hubungan persahabatan antara kedua-dua belah pihak supaya dapat memantapkan pasukan bola sepak sekolah masing-masing yang akan menyertai pertandingan bola sepak peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah pada hujung bulan Mei ini.
3. Perlawanan ini akan diadakan pada hari Khamis, 21 April 2006, di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Manir pada pukul 5.30 petang. Kami akan menyediakan segala kemudahan, iaitu minuman, penjaga masa, dan pengadil. Pengadil dan penjaga masa merupakan guru-guru dari sekolah lain. Walau bagaimanapun, segala kemudahan yang telah kami tetapkan boleh diubah suai jika pihak tuan ada pilihan yang lain.
4. Kami berharap agar mendapat jawapan daripada pihak tuan sebelum 18 April 2006 supaya kami dapat membuat persiapan yang rapi.
Diharapkan pihak tuan sudi mengadakan perlawanan persahabatan ini. Kami akhiri dengan ucapan terima kasih.
Yang benar,

............................................
(ISMAIL BIN MAHADI)
Ketua Pasukan Bola Sepak,
Sekolah Menengah Kebangsaan Manir.


Format Menulis Karangan Gambaran/Keperihalan

• Karangan gambaran atau keperihalan berbentuk kisah yang pernah calon lihat, dengar, atau alami sendiri.
• Mengisahkan peristiwa, pengalaman, dan perasaan calon. Perkara yang digambarkan berdasarkan cerita yang benar-benar berlaku atau cerita rekaan yang diolah seperti benar-benar berlaku.
• Tidak mempunyai format tetapi perlu ditulis dengan menggunakan gaya persembahan yang menarik, pemilihan kata dan istilah yang tepat, penggunaan peribahasa, dan ungkapan yang sesuai.
• Mulakan karangan dengan memberikan gambaran latar sesuatu peristiwa. Kembangkan cerita secara berperingkat-peringkat dan tamatkan cerita dengan menulis pengajaran daripada kisah yang telah diperihalkan.

Contoh Karangan Gambaran/Keperihalan

Kakak anda telah melangsungkan majlis perkahwinannya pada cuti sekolah baru-baru ini. Perihal peristiwa tersebut. Panjang karangan anda itu hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

Majlis perkahwinan kakak sulungku berlangsung pada hari Sabtu, 28 Mei 2005, iaitu pada musim cuti persekolahan penggal pertengahan tahun yang lalu. Aku tidak sabar-sabar menunggu hari tersebut kerana pasti banyak saudaraku yang dating. Sangkaanku memang tepat. Dua minggu sebelum tarikh perkahwinan, mereka telah datang menghantar barang-barang mentah seperti beras, pulut, tepung, dan minyak masak. Mereka mengatakan bahawa barang-barang tersebut adalah untuk meringankan perbelanjaan yang akan ditanggung oleh ibu bapaku.

Tiga hari sebelum majlis perkahwinan, beberapa orang pemuda kampungku telah datang ke rumahku. Mereka mendirikan khemah untuk memasak dan khemah tetamu. Jiran tetanggaku terutama kaum wanita menghiasi bilik pengantin dan pelamin. Mereka sangat kreatif menyusun bunga, mengatur perabot, dan memadankan corak langsir, alas meja, dan pelamin supaya kelihatan menarik.

Sehari sebelum kenduri, kaum wanitalah yang paling sibuk kerana mereka ditugaskan untuk menyediakan rempah ratus untuk memasak manakala kaum lelaki memotong daging lembu dan daging ayam. Kerja-kerja untuk kaum lelaki bermula pada pukul 2.00 petang. Daging-daging itu dimasukkan ke dalam peti sejuk sebelum dimasak.

Pada hari kenduri suasana di rumahku riuh-rendah. Jiran-jiran datang sebelum pukul lima pagi. Mereka meminta tuan rumah melonggokkan semua bahan mentah seperti rempah, gula, kunyit, asam, belacan, halia, garam, daging, dan sayur di bawah khemah memasak agar memudahkan mereka untuk memasak. Dari atas rumah aku telah dapat menghidu bau masakan yang sungguh enak. Maklumlah mereka memang handal memasak dan sering memasak untuk majlis perkahwinan yang diadakan di kampungku.

Kira-kira pukul 2.00 petang, rombongan pengantin lelaki tiba. Mereka disambut dengan paluan kompang. Selepas itu, raja sehari diarak ke pelamin. Pasangan pengantin kelihatan sama cantik sama padan, bak kata pepatah seperti pinang dibelah dua. Mereka kemudian ditepung tawar oleh sanak saudara kedua-dua belah pihak. Selepas upacara persandingan, pasangan menjamu selera bersama-sama rombongan pengantin lelaki dan dan tetamu yang lain.

Menjelang jam 5.00 petang, majlis kenduri selesai. Walaupun aku letih tetapi aku puas kerana dapat menjayakan majlis perkahwinan kakak sulungku. Aku juga gembira kerana mendapat seorang abang ipar yang sangat peramah.



Format Menulis Karangan Syarahan/Ceramah

1. Syarahan membicarakan hal yang serius dan biasanya untuk pertandingan, manakala ceramah disampaikan oleh seseorang yang pakar dalam sesuatu bidang.
2. Lazimnya, topik syarahan dan ceramah tentang politik, ekonomi, budaya, agama, dan sebagainya.
3. Isi karangam syarahan ialah fakta-fakta yang dapat mempertahankan sesuatu kenyataan manakala isi karangan ceramah adalah tentang cadangan dan nasihat yang dapat dijadikan panduan hidup.
4. Format:
• Karangan dimulakan dengan kata alu-aluan yang disusun mengikut protokol.
• Tulis ungkapan seperti “Hadirin yang dihormati” dan “Tuan-tuan dan Puan-puan”, sekurang-kurangnya dua kali untuk menunjukkan suasana syarahan atau ceramah.
• Akhiri penutup dengan menyatakan harapan agar pendengar telah faham akan apa-apa yang telah diperkatakan tadi dan disertakan dengan serangkap pantun, madah, atau kata-kata hikmat yang berkaitan dengan tajuk syarahan atau ceramah.

Contoh Karangan Syarahan/Ceramah
Anda telah dipilih untuk menyertai pertandingan syarahan yang berkaitan dengan pencemaran alam anjuran Jabatan Alam Sekitar. Tulis syarahan tersebut selengkapnya. Panjang karangan itu hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, rakan-rakan, serta hadirin sekalian. Selamat pagi dan selamat sejahtera.

Hadirin yang dihormati,

Saya berasa sungguh bertuah kerana dapat menyampaikan syarahan yang bertajuk “Alam dan Manusia Saling Bergantungan”. Sebagaimana yang tuan-tuan dan puan-puan maklum, unsur-unsur alam terdiri daripada semua unsur yang terdapat di sekeliling kita seperti air, udara, tanah, hutan, dan komposisi yang lain.

Berdasarkan laporan daripada Majalah Era Hijau terbitan Universiti Putra Malaysia, bahawa terdapat 20 juta hektar hutan di dunia akan pupus pada setiap tahun. Jika keadaan ini berterusan hinggan tahun 2040, dijangkakan seluruh hutan di dunia akan pupus. Hal ini bermakna dunia akan kehilangan oksigen. Dapatkah tuan-tuan dan puan-puan bayangkan, manusia hidup tanpa oksigen?

Selain berlakunya pencemaran udara, negara kita juga sedang mengalami pencemaran air. Punca utama pencemaran air disebabkan oleh kegiatan industri pembuatan dan industri berasaskan pertanian yang membuang sisa toksik ke laut.

Sikap manusia yang tamak juga menyebabkan alam semula jadi musnah. Manusia yang tamak sanggup menggondolkan hutan, menarah bukit, dan meratakan sungai sehingga mengganggu sistem ekologi bumi. Mereka menambak tanah paya dan merancang pembangunan tanpa mengambil kira akibatnya kepada masyarakat. Contohnya, air hujan yang bercampur dengan tanah turun dari bukit menyebabkan dasar sungai menjadi cetek dan berlaku banjir.

Selain itu, dua juta tan karbon monoksida, 236 000 tan oksida nitrogen, 111 300 tan hidrokarbon, dan 17 3000 tan habuk halus dilepaskan ke udara pada setiap tahun di Malaysia. Faktor utama pencemaran udara berlaku disebabkan aktiviti perindustrian, kenderaan berenjin diesel, stesen janakuasa, penggunaan bahan api, dan aktiviti pembakaran sampah secara terbuka. Kandungan udara yang kotor memberikan kesan yang tidak baik pada kesihatan manusia.

Hadirin yang dihormati,

Kita mungkin tidak berada di dalam dewan ini jika alam sekitar tidak terurus dengan baik. Manusia akan sengsara sekiranya air, udara, dan tanah mengalami pencemaran. Oleh itu, ternyatalah pada hari ini, bumi semakin tidak selesa untuk didiami tetapi kemanakah kita harus berpindah? Oleh sebab itu, marilah kita sama-sama melindungi alam sekitar dengan segera sebelum terlambat.

Sebelum saya mengakhiri syarahan ini, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa manusia perlu mengawal alam sekitar dengan bijaksana agar tidak berlaku kemusnahan di mana-mana jua. Kita perlu menerima hakikat bahawa kedua-dua unsur, iaitu alam dan manusia saling bergantungan antara satu sama lain.

Sekian, terima kasih.
Format Menulis Karangan Ucapan/Perbahasan
1. Ucapan biasanya tidak diberi tajuk yang khusus dak disampaikan dalam sesuatu majlis.
2. Perbahasan bersifat pertandingan dan terdiri daripada pihak pencadang atau pembangkang.
3. Isi-isi karangan ucapan dan perbahasan mesti berasaskan fakta yang betul, tepat, dan mayakinkan pendengar.
4. Format:
a. Karangan dimulakan dengan kata alu-aluan yang disusun mengikut protokol.
b. Tulis ungkapan “Hadirin sekalian” atau “Hadirin yang dihormati” sekurang-kurangnya dua kali untuk menunjukkan situasi ucapan atau perbahasan.
c. Penutup ucapan biasanya menyatakan perasaan gembira dengan harapan pendengar telah faham apa-apa yang telah diperkatakan tadi.
d. Penutup karangan perbahasan perlu ringkas dan mengulangi pendirian yang telah diperkatakan di di atas.

Contoh Karangan Ucapan/Perbahasan
Anda telah dipilih sebagai pencadang bagi pertandingan bahas antara sekolah-sekolah di daerah anda. Tajuk perbahasan ialah “Hukuman Merotan untuk Membendung Masalah Disiplin di Sekolah Harus Dibenarkan”. Tulis perbahasan tersebut selengkapnya. Panjang karangan itu hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi adil, rakan-rakan pembangkang yang bijaksanan, guru-guru, pelajar-pelajar, dan hadirin sekalian. Selamat petang dan selamat sejahtera. Berdirinya saya di sini adalah untuk mempertahankan tajuk yang berbunyi “Hukuman Merotan untuk Membendung Masalah Disiplin di Sekolah Harus Dibenarkan”

Saudara dan saudari yang saya hormati,
Hukuman merotan sabagai satu daripada cara membendung masalah disiplin para pelajar harus dibenarkan kerana kesannya telah ternyata sebagaimana yang terungkap dalam peribahasa Melayu “Sayang akan anak tangan-tangankan, sayang akan isteri tinggal-tinggalkan”. Peribahasa ini menekankan konsep bahawa kesakitan fizikal dapat dijadikan suatu kaedah untuk mendidik anak-anak. Hal ini menunjukkan bahawa hukuman fizikal merupakan satu daripada cara yang paling berkesan untuk mendidik manusia dan masih dapat diguna pakai hingga hari ini.

Walaupun ahli-ahli psikologi berpendapat bahawa hukuman fizikal akan memberikan kesan negatif tetapi pada hari ini telah terbukti bahawa kaedah kaunseling yang menekankan kaedah pujukan dan nasihat tidak dapat membentuk sahsiah dan perwatakan remaja masa kini. Oleh itu, saya bersetuju agar hukuman merotan diperkenalkan semula di sekolah-sekolah. Guru-guru diberi kuasa untuk merotan pelajar-pelajar yang melanggar peraturan sekolah dengan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pelajaran.

Ada sesetengah pihak mendakwa bahawa kaedah merotan tidak berkesan kerana selepas hilang rasa sakit, si pesalah akan mengulangi kesalahan itu kembali. Saya menyangkal dakwaan tersebut kerana hukuman rotan amat ditakuti oleh para pelajar. Mereka takut dirotan kerana kena rotan bukan saja sakit bahkan sangat memalukan. Oleh itu, mereka bertaubat, insaf, dan berazam tidak mahu membuat kesalahan lagi.

Saudara dan saudari sekalian,
Sekiranya hukuman rotan tidak dilaksanakan, masalah disiplin di kalangan para pelajar akan menjadi serius dan besar kemungkinan tidak dapat dikawal oleh pihak sekolah. Oleh itu, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diharapkan dapat memberikan sokongan yang padu untuk membenarkan pihak sekolah mempraktikkan kaedah ini.

Kesimpulannya, saya tetap yakin bahawa budaya merotan merupakan suatu kaedah yang dapat membanteras masalah disiplin dan gejala sosial di sekolah. Berdasarkan hujah-hujah di atas, hukuman merotan harus dikuatkuasakan semula. Sekian, terima kasih.


Format Menulis Karangan Laporan

1. Karangan jenis laporan bertujuan untuk melaporkan sesuatu hal atau peristiwa yang telah berlaku.
2. 2 jenis iaitu laporan rasmi dan laporan tidak rasmi.
3. Bahasa yang digunakan hendaklah ringkas, tepat dan berkesan.
4. Format:
a. Tajuk laporan ditulis dengan huruf besar abgi huruf pertama pada setiap perkataan dan digariskan di bawahnya.
b. Peristiwa yang berlaku perlu dicatat secara berurutan.
c. Tulis tarikh laporan dengan huruf besar dan diletakkan bersetentang dengan pengakuan pelapor.
d. Tulis nama pelapor di dalam kurungan dengan huruf besar.
e. Nama persatuan yang diwakili, ditulis selepas jawatan.

Contoh Karangan Laporan
Anda ialah Setiausaha Persatuan Sejarah di sekolah anda. Sediakan laporan tentang aktiviti tahunan Persatuan Sejarah sepanjang tahun 2005 untuk disiarkan dalam majalah sekolah. Panjang karangan itu hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

Laporan Tahunan Persatuan Sejarah
Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Beringin 2005

Penasihat :Encik Dahlan bin Ibrahim
Pengerus :Encik Ahmad bin Dollah
Naib Pengerusi :Cik Kamsiah binti Kassim
Setiausaha :Cik Azmah binti Othman
Bendahari :Cik Mona binti Ali
Ahli Jawatankuasa :Encik Ibrahim bin Amir
Encik Idham bin Jaafar

Persatuan Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Beringin dianggotai sebanyak 78 orang pelajar dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. Objektif utama penubuhan persatuan ini adalah untuk menyedarkan ahli persatuan akan kepentingan sejarah dalam kehidupan manusia dan seterusnya mendorong mereka untuk mencintai tanah air mereka sendiri. Semua aktiviti yang dijalankan pada tahun 2005 selaras dengan objektif tersebut. Senarai lengkap aktiviti tahun 2005 adalah seperti yang berikut:

1. Lawatan Sambil Belajar ke Muzium Negeri Melaka
Lawatan ini diadakan pada 25 Mac 2005. sebanyak 35 orang telah menyertai lawatan ini. Rombongan ini diiringi oleh guru penasihat Persatuan Sejarah, iaitu Cikgu Dahlan bin Ibrahim. Tujuan lawatan adalah untuk melihat bangunan-bangunan yang di bina pada zaman penjajahan Portugis dan Belanda. Setiap pelajar dikenakan bayaran sebanyak RM30 untuk menampung kos pengangkutan dan minuman ringan.

2. Pertandingan Kuiz Sejarah
Aktiviti ini telah dijalankan pada 22 Ogos 2005. pertandingan ini merupakan aktiviti menyambut bulan kemerdekaan. Pertandingan ini bertujuan untuk mendorong pelajar membuat kajian terperinci tentang perkembangan sejarah tanah air. Sebanyak 100 soalan objektif yang berkaitan dengan kemerdekaan dikemukakan. Pelajar menjawab soalan yang diedarkan pada waktu akhir pembelajaran. Mereka menjawab soalan di dalam kelas masing-masing. Pemenang tempat pertama bagi kategori menengah atas ialah Rashidah Ali (5 Sains 1) manakala kategori menengah rendah ialah Mohd Zaini Hamid (Tingkatan 3 Beta)

3. Sehari Bersama Tokoh Sejarah
Program ini diadakan pada 23 September 2005. tokoh yang dijemput ialah Datuk Abbas bin Ghafar, iaitu seorang pejuang kemerdekaan. Tujuan program ini diadakan adalah untuk mendekatkan para pelajar kepada tokoh sejarah yang sebenar.

4. Pameran Sejarah
Projek ini diadakan pada 12 September 2005 bertempat di Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Beringin. Projek ini bertujuan untuk mempamerkan segala hasil kerja ahli-ahli seperti lukisan, buku folio, catatan, dan kata-kata hikmat.

Secara keseluruhan, semua aktiviti persatuan telah mendapat sambutan. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli persatuan yang telah bekerjasama dalam menjayakan projek ini.

Disediakan oleh, 16 November 2005
.............azmah...................
(AZMAH BINTI OTHMAN)
Setiausaha,
Persatuan Sejarah,
Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Beringin,
Kuantan, Pahang.

Format Menulis Karangan Berita

1. Karangan jenis berita bertujuan untuk memberikan maklumat dan pengetahuan tentang sesuatu peristiwa penting kepada pembaca.
2. Terdapat beberapa jenis berita seperti berita sukan, jenayah, kemalangan, hiburan, dan hal-ehwal semasa yang berlaku di dalam dan di luar negara.
3. Isi karangan berita berkisar tentang lima perkara, iaitu apa, siapa, bila, dimana, dan menagapa.
4. Bahasa yang digunakan hendaklah ringkas dan mudah difahami.
5. Jumlah perenggan tidak dihadkan tetapi sebaik-baiknya setiap isi dalam satu perenggan.
6. Format:
a. Nama tempat – ditulis di sebelah kiri perenggan pertama dengan huruf besar dan diikuti tanda koma. Contohnya: KUALA TERENGGANU,
b. Tarikh – ditulis selepas nama tempat dan dibubuh tanda sempang ( - ). Contohnya: KUALA TERENGGANU, 17 Januari –
c. Isi berita – didahului dengan isi utama dan isi-isi yang kurang penting dikemudiankan.
d. Penutup – ringkas dan padat.

Contoh Karangan Berita

Sebagai pemberita di sebuah akhbar tempatan, anda telah dijemput ke majlis perasmian Program Latihan Kemahiran di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang. Tulis berita itu selengkapnya. Panjang karangan itu hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

KUANTAN, 17 Januari – Menteri Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Khalid bin Awang telah merasmikan Program Latihan Kemahiran Belia Negara Peringkat Negeri Pahang di Tingkat 5, Wisma Persekutuan Kuantan. Matlamat program ini adalah untuk memberikan penerangan kepada ibu bapa dan pelajar lepasan SPM supaya menyambung pelajaran pada peringkat sijil atau diploma di Institut Kemahiran Belia Negara atau IKBN selepas menduduki peperiksaan SPM.

Menurut beliau lagi, IKBN dibina oleh Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 1996. Kini, IKBN telah membuka lapan cawangan di seluruh Negara. Usaha ini membuktikan kesungguhan kerajaan menyediakan peluang-peluang latihan berbentuk kemahiran teknikal kepada belia-belia Malaysia seperti elektrik, elektronik, mekanikal, automatif, dan kejuruteraan awam.

Matlamat utama penubuhan IKBN adalah untuk melahirkan tenaga kerja mahir sebanyak mungkin bagi memenuhi keperluan sector perindustrian. Dengan cara ini, kerajaan dapat juga menangani masalah pengangguran di kalangan belia yang tercicir dalam pelajaran.

Sehubungan dengan itu, Encik Khalid bin Awang juga menyeru agar ibu bapa menghantar anak-anak mereka menyambung pelajaran di IKBN yang terdekat dengan tempat tinggal. Beliau juga menegaskan bahawa pihak kementerian akan menjalinkan kerjasama dengan pihak swasta untuk memperluas bidang praktikal di pelbagai industri. Oleh itu, peluang lepasan IKBN memperoleh pekerjaan selepas tamat belajar di IKBN terbuka luas.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar pengambilan pelatih baru IKBN diadakan dua kali setahun. Pengambilan tersebut akan disiarkan pada bulan November (kemasukan bulan Januari) dan bulan Mei (kemasukan bulan Julai) di akhbar-akhbar tempatan, radio, dan televisyen supaya tidak ada yang terlepas pandang.


Format Karangan Cereka/Melengkapkan Cerita

BENTUK PENULISAN KATA MAJMUK YANG TELAH MANTAP

Di sini saya sertakan senarai kata majmuk yang telah mantap dan dieja secara bercantum:

1. antarabangsa
2. beritahu
3. bumiputera
4. jawatankuasa
5. kakitangan
6. olahraga
7. matahari
8. setiausaha
9. sukarela
10. suruhajaya
11. tandatangan
12. tanggungawab
13. warganeara
14. pesuruhjaya
15. kerjasama

Semua kata majmuk di atas merupakan kata nama majmuk kecuali perkataan beritahu yang merupakan kata kerja majmuk.

Walau bagaimanapun, terdapat sejumlah perkataan yang tergolong dalam golongan kata tertentu yang lazimnya dieja bercantum:

Kata nama:
peribadi, peribahasa, hulubalang, dinihari, perikemanusaan

Kata adjektif:
sukacita, dukacta

Kata sendi nama:
kepada, daripada

Kata hubung
apabila, manakala, padahal, apakala, walhal, darihal, barangkali, kadangkala

PAK21 NORMAL BAHARU

https://www.flipsnack.com/RynnYusuf/pak21-normal-baharu-cp5gi3nvxn.html