Wednesday, July 20, 2011

FORMAT MENULIS KARANGAN

Format Menulis Karangan Surat Kiriman Tidak Rasmi
• Surat kiriman tidak rasmi bersifat peribadi. Biasanya ditujukan kepada sahabat handai dan ahli keluarga terdekat.
• Surat kiriman tidak rasmi ditulis untuk bertanyakan khabar, menyampaikan ucapan takziah/tahniah, berkenalan, dan sebagainya.
• Format:
a. Alamat pengirim ditulis pada sudut atas sebelah kanan surat.
b. Tarikh ditulis di bawah alamat dan dibubuh tanda noktah.
c. Langkau sebaris sebelum menulis pendahuluan surat.
d. Gunakan nama panggilan hormat yang sesuai sebelum menulis isi surat seperti ayahanda, bonda, kekanda, adinda, cucunda, saudara, saudari, dan sebagainya.
e. Tulis isi-isi surat secara tersusun di dalam perenggan.
f. Gunakan ungkapan seperti Yang ikhlas sahabatmu, Kekanda yang jauh, dan sebagainya sebelum menurunkan tanda tangan.


Contoh Surat Kiriman Tidak Rasmi

Anda tidak pulang ke kampung. Tulis sepucuk surat kepada datuk dan nenek anda untuk menjemput mereka tinggal bersama-sama keluarga anda semasa cuti persekolahan penggal pertama. Panjang karangan itu hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

13, Lorong Raja Alang, Kampung Datuk Keramat,
50030 Kuala Lumpur.

3 Mei 2005

Menemui Nenda Ahmad dan Nenda Som yang tersayang semoga sihat dan gembira selalu. Cucunda di sini sihat walafiat.

Nenda,
Terlebih dahulu, cucunda ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak pulang ke kampung menziarahi nenda berdua. Hal ini demikian kerana ayahanda dan bonda tidak dibenarkan memohon cuti. Pada masa ini semua cuti untuk pegawai-pegawai kerajaan dibekukan.

Oleh itu, cucunda berhasrat hendak mengajak nenda berdua tinggal bersama-sama cucunda sambil menikmati keindahan Bandar raya Kuala Lumpur pada musim cuti persekolahan penggal pertama ini. Pasti nenda berdua berasa gembira kerana kekanda Rosnah yang tinggal di asrama juga akan pulang bercuti. Kami amat merindui nenda berdua.

Ayahanda dan bonda juga berhasrat hendak mengadakan kenduri pada Mei 2005 kerana pada hari itu ialah hari jadi adinda Fuad yang kelapan. Ayahanda dan bonda ingin mengundang sanak saudara kita yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur. Alangkah seronok dan meriahnya jikalau nenda berdua ada bersama.

Sekiranya nenda berdua dapat datang, silalah hubungi cucunda segera melalui telefon atau surat dengan menggunakan alamat di atas. Ayahanda akan mengirimkan tiket kapal terbang kepada nenda berdua dengan segera.

Akhir kata, sambutlah salam saying daripada cucunda seisi keluarga. Sekian, terima kasih.

Cucunda yang jauh,
Idham Bahari


Format Menulis Karangan Kiriman Rasmi


1. Surat kiriman rasmi berbentuk formal. Biasanya, ditujukan kepada majikan, pertubuhan, jabatan kerajaan, organisasi, dan orang tertentu.
2. Terdiri daripada beberapa jenis, iaitu surat aduan, surat rayuan, surat pesanan, surat undangan rasmi, surat permohonan, dan surat edaran.
3. Ditulis dengan menggunakan bahasa yang baku, ringkas, dan padat.
4. Format:
- Alamat pengirim ditulis pada sebelah kiri surat.
- Garis panjang melintang dibuat di bawah alamat pengirim.
- Nama dan alamat penerima ditulis di bawah alamat pengirim. Baris akhir alamat penerima hendaklah digariskan.
- Tarikh ditulis dengan alamat terakhir penerima dan diakhiri dengan tanda noktah.
- Panggilan hormat ditulis di bawah alamat penerima seperti Tuan, Puan, Datuk, Cikgu, dan sebagainya.
- Perkara atau tujuan surat ditulis di bawah nama panggilan hormat.
- Perenggan pertama dimulakan dari tepi dan tidak perlu dinomborkan. Perenggan isi yang berikutnya hendaklah bermula dengan nombor dua dan seterusnya.
- Turunkan tanda tangan di sebelah kiri surat kiriman. Tulis nama dengan huruf besar dalam kurungan. Tulis jawatan pengirim jika ada.

Contoh Surat Kiriman Rasmi

Selaku ketua pasukan bola sepak, anda telah diminta oleh guru penasihat untuk mengadakan pertandingan persahabatan dengan sebuah sekolah yang berhampiran. Tulis surat tersebut selengkapnya. Panjang karangan anda hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

Pasukan Bola Sepak,
Sekolah Menengah Kebangsaan Manir,
21200 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman.


Tuan Pengurus,
Pasukan Bola Sepak,
Sekolah Menengah Kebangsaan Belara,
21200 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman. 16 APRIL 2006.

Tuan,
Perlawanan Bola Sepak Persahabatan

Kami amat berbesar hati sekiranya pasukan bola sepak sekolah tuan dapat mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan bola sepak kami

2. Tujuan perlawanan persahabatan ini diadakan untuk menjalinkan hubungan persahabatan antara kedua-dua belah pihak supaya dapat memantapkan pasukan bola sepak sekolah masing-masing yang akan menyertai pertandingan bola sepak peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah pada hujung bulan Mei ini.
3. Perlawanan ini akan diadakan pada hari Khamis, 21 April 2006, di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Manir pada pukul 5.30 petang. Kami akan menyediakan segala kemudahan, iaitu minuman, penjaga masa, dan pengadil. Pengadil dan penjaga masa merupakan guru-guru dari sekolah lain. Walau bagaimanapun, segala kemudahan yang telah kami tetapkan boleh diubah suai jika pihak tuan ada pilihan yang lain.
4. Kami berharap agar mendapat jawapan daripada pihak tuan sebelum 18 April 2006 supaya kami dapat membuat persiapan yang rapi.
Diharapkan pihak tuan sudi mengadakan perlawanan persahabatan ini. Kami akhiri dengan ucapan terima kasih.
Yang benar,

............................................
(ISMAIL BIN MAHADI)
Ketua Pasukan Bola Sepak,
Sekolah Menengah Kebangsaan Manir.


Format Menulis Karangan Gambaran/Keperihalan

• Karangan gambaran atau keperihalan berbentuk kisah yang pernah calon lihat, dengar, atau alami sendiri.
• Mengisahkan peristiwa, pengalaman, dan perasaan calon. Perkara yang digambarkan berdasarkan cerita yang benar-benar berlaku atau cerita rekaan yang diolah seperti benar-benar berlaku.
• Tidak mempunyai format tetapi perlu ditulis dengan menggunakan gaya persembahan yang menarik, pemilihan kata dan istilah yang tepat, penggunaan peribahasa, dan ungkapan yang sesuai.
• Mulakan karangan dengan memberikan gambaran latar sesuatu peristiwa. Kembangkan cerita secara berperingkat-peringkat dan tamatkan cerita dengan menulis pengajaran daripada kisah yang telah diperihalkan.

Contoh Karangan Gambaran/Keperihalan

Kakak anda telah melangsungkan majlis perkahwinannya pada cuti sekolah baru-baru ini. Perihal peristiwa tersebut. Panjang karangan anda itu hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

Majlis perkahwinan kakak sulungku berlangsung pada hari Sabtu, 28 Mei 2005, iaitu pada musim cuti persekolahan penggal pertengahan tahun yang lalu. Aku tidak sabar-sabar menunggu hari tersebut kerana pasti banyak saudaraku yang dating. Sangkaanku memang tepat. Dua minggu sebelum tarikh perkahwinan, mereka telah datang menghantar barang-barang mentah seperti beras, pulut, tepung, dan minyak masak. Mereka mengatakan bahawa barang-barang tersebut adalah untuk meringankan perbelanjaan yang akan ditanggung oleh ibu bapaku.

Tiga hari sebelum majlis perkahwinan, beberapa orang pemuda kampungku telah datang ke rumahku. Mereka mendirikan khemah untuk memasak dan khemah tetamu. Jiran tetanggaku terutama kaum wanita menghiasi bilik pengantin dan pelamin. Mereka sangat kreatif menyusun bunga, mengatur perabot, dan memadankan corak langsir, alas meja, dan pelamin supaya kelihatan menarik.

Sehari sebelum kenduri, kaum wanitalah yang paling sibuk kerana mereka ditugaskan untuk menyediakan rempah ratus untuk memasak manakala kaum lelaki memotong daging lembu dan daging ayam. Kerja-kerja untuk kaum lelaki bermula pada pukul 2.00 petang. Daging-daging itu dimasukkan ke dalam peti sejuk sebelum dimasak.

Pada hari kenduri suasana di rumahku riuh-rendah. Jiran-jiran datang sebelum pukul lima pagi. Mereka meminta tuan rumah melonggokkan semua bahan mentah seperti rempah, gula, kunyit, asam, belacan, halia, garam, daging, dan sayur di bawah khemah memasak agar memudahkan mereka untuk memasak. Dari atas rumah aku telah dapat menghidu bau masakan yang sungguh enak. Maklumlah mereka memang handal memasak dan sering memasak untuk majlis perkahwinan yang diadakan di kampungku.

Kira-kira pukul 2.00 petang, rombongan pengantin lelaki tiba. Mereka disambut dengan paluan kompang. Selepas itu, raja sehari diarak ke pelamin. Pasangan pengantin kelihatan sama cantik sama padan, bak kata pepatah seperti pinang dibelah dua. Mereka kemudian ditepung tawar oleh sanak saudara kedua-dua belah pihak. Selepas upacara persandingan, pasangan menjamu selera bersama-sama rombongan pengantin lelaki dan dan tetamu yang lain.

Menjelang jam 5.00 petang, majlis kenduri selesai. Walaupun aku letih tetapi aku puas kerana dapat menjayakan majlis perkahwinan kakak sulungku. Aku juga gembira kerana mendapat seorang abang ipar yang sangat peramah.



Format Menulis Karangan Syarahan/Ceramah

1. Syarahan membicarakan hal yang serius dan biasanya untuk pertandingan, manakala ceramah disampaikan oleh seseorang yang pakar dalam sesuatu bidang.
2. Lazimnya, topik syarahan dan ceramah tentang politik, ekonomi, budaya, agama, dan sebagainya.
3. Isi karangam syarahan ialah fakta-fakta yang dapat mempertahankan sesuatu kenyataan manakala isi karangan ceramah adalah tentang cadangan dan nasihat yang dapat dijadikan panduan hidup.
4. Format:
• Karangan dimulakan dengan kata alu-aluan yang disusun mengikut protokol.
• Tulis ungkapan seperti “Hadirin yang dihormati” dan “Tuan-tuan dan Puan-puan”, sekurang-kurangnya dua kali untuk menunjukkan suasana syarahan atau ceramah.
• Akhiri penutup dengan menyatakan harapan agar pendengar telah faham akan apa-apa yang telah diperkatakan tadi dan disertakan dengan serangkap pantun, madah, atau kata-kata hikmat yang berkaitan dengan tajuk syarahan atau ceramah.

Contoh Karangan Syarahan/Ceramah
Anda telah dipilih untuk menyertai pertandingan syarahan yang berkaitan dengan pencemaran alam anjuran Jabatan Alam Sekitar. Tulis syarahan tersebut selengkapnya. Panjang karangan itu hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, rakan-rakan, serta hadirin sekalian. Selamat pagi dan selamat sejahtera.

Hadirin yang dihormati,

Saya berasa sungguh bertuah kerana dapat menyampaikan syarahan yang bertajuk “Alam dan Manusia Saling Bergantungan”. Sebagaimana yang tuan-tuan dan puan-puan maklum, unsur-unsur alam terdiri daripada semua unsur yang terdapat di sekeliling kita seperti air, udara, tanah, hutan, dan komposisi yang lain.

Berdasarkan laporan daripada Majalah Era Hijau terbitan Universiti Putra Malaysia, bahawa terdapat 20 juta hektar hutan di dunia akan pupus pada setiap tahun. Jika keadaan ini berterusan hinggan tahun 2040, dijangkakan seluruh hutan di dunia akan pupus. Hal ini bermakna dunia akan kehilangan oksigen. Dapatkah tuan-tuan dan puan-puan bayangkan, manusia hidup tanpa oksigen?

Selain berlakunya pencemaran udara, negara kita juga sedang mengalami pencemaran air. Punca utama pencemaran air disebabkan oleh kegiatan industri pembuatan dan industri berasaskan pertanian yang membuang sisa toksik ke laut.

Sikap manusia yang tamak juga menyebabkan alam semula jadi musnah. Manusia yang tamak sanggup menggondolkan hutan, menarah bukit, dan meratakan sungai sehingga mengganggu sistem ekologi bumi. Mereka menambak tanah paya dan merancang pembangunan tanpa mengambil kira akibatnya kepada masyarakat. Contohnya, air hujan yang bercampur dengan tanah turun dari bukit menyebabkan dasar sungai menjadi cetek dan berlaku banjir.

Selain itu, dua juta tan karbon monoksida, 236 000 tan oksida nitrogen, 111 300 tan hidrokarbon, dan 17 3000 tan habuk halus dilepaskan ke udara pada setiap tahun di Malaysia. Faktor utama pencemaran udara berlaku disebabkan aktiviti perindustrian, kenderaan berenjin diesel, stesen janakuasa, penggunaan bahan api, dan aktiviti pembakaran sampah secara terbuka. Kandungan udara yang kotor memberikan kesan yang tidak baik pada kesihatan manusia.

Hadirin yang dihormati,

Kita mungkin tidak berada di dalam dewan ini jika alam sekitar tidak terurus dengan baik. Manusia akan sengsara sekiranya air, udara, dan tanah mengalami pencemaran. Oleh itu, ternyatalah pada hari ini, bumi semakin tidak selesa untuk didiami tetapi kemanakah kita harus berpindah? Oleh sebab itu, marilah kita sama-sama melindungi alam sekitar dengan segera sebelum terlambat.

Sebelum saya mengakhiri syarahan ini, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa manusia perlu mengawal alam sekitar dengan bijaksana agar tidak berlaku kemusnahan di mana-mana jua. Kita perlu menerima hakikat bahawa kedua-dua unsur, iaitu alam dan manusia saling bergantungan antara satu sama lain.

Sekian, terima kasih.
Format Menulis Karangan Ucapan/Perbahasan
1. Ucapan biasanya tidak diberi tajuk yang khusus dak disampaikan dalam sesuatu majlis.
2. Perbahasan bersifat pertandingan dan terdiri daripada pihak pencadang atau pembangkang.
3. Isi-isi karangan ucapan dan perbahasan mesti berasaskan fakta yang betul, tepat, dan mayakinkan pendengar.
4. Format:
a. Karangan dimulakan dengan kata alu-aluan yang disusun mengikut protokol.
b. Tulis ungkapan “Hadirin sekalian” atau “Hadirin yang dihormati” sekurang-kurangnya dua kali untuk menunjukkan situasi ucapan atau perbahasan.
c. Penutup ucapan biasanya menyatakan perasaan gembira dengan harapan pendengar telah faham apa-apa yang telah diperkatakan tadi.
d. Penutup karangan perbahasan perlu ringkas dan mengulangi pendirian yang telah diperkatakan di di atas.

Contoh Karangan Ucapan/Perbahasan
Anda telah dipilih sebagai pencadang bagi pertandingan bahas antara sekolah-sekolah di daerah anda. Tajuk perbahasan ialah “Hukuman Merotan untuk Membendung Masalah Disiplin di Sekolah Harus Dibenarkan”. Tulis perbahasan tersebut selengkapnya. Panjang karangan itu hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi adil, rakan-rakan pembangkang yang bijaksanan, guru-guru, pelajar-pelajar, dan hadirin sekalian. Selamat petang dan selamat sejahtera. Berdirinya saya di sini adalah untuk mempertahankan tajuk yang berbunyi “Hukuman Merotan untuk Membendung Masalah Disiplin di Sekolah Harus Dibenarkan”

Saudara dan saudari yang saya hormati,
Hukuman merotan sabagai satu daripada cara membendung masalah disiplin para pelajar harus dibenarkan kerana kesannya telah ternyata sebagaimana yang terungkap dalam peribahasa Melayu “Sayang akan anak tangan-tangankan, sayang akan isteri tinggal-tinggalkan”. Peribahasa ini menekankan konsep bahawa kesakitan fizikal dapat dijadikan suatu kaedah untuk mendidik anak-anak. Hal ini menunjukkan bahawa hukuman fizikal merupakan satu daripada cara yang paling berkesan untuk mendidik manusia dan masih dapat diguna pakai hingga hari ini.

Walaupun ahli-ahli psikologi berpendapat bahawa hukuman fizikal akan memberikan kesan negatif tetapi pada hari ini telah terbukti bahawa kaedah kaunseling yang menekankan kaedah pujukan dan nasihat tidak dapat membentuk sahsiah dan perwatakan remaja masa kini. Oleh itu, saya bersetuju agar hukuman merotan diperkenalkan semula di sekolah-sekolah. Guru-guru diberi kuasa untuk merotan pelajar-pelajar yang melanggar peraturan sekolah dengan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pelajaran.

Ada sesetengah pihak mendakwa bahawa kaedah merotan tidak berkesan kerana selepas hilang rasa sakit, si pesalah akan mengulangi kesalahan itu kembali. Saya menyangkal dakwaan tersebut kerana hukuman rotan amat ditakuti oleh para pelajar. Mereka takut dirotan kerana kena rotan bukan saja sakit bahkan sangat memalukan. Oleh itu, mereka bertaubat, insaf, dan berazam tidak mahu membuat kesalahan lagi.

Saudara dan saudari sekalian,
Sekiranya hukuman rotan tidak dilaksanakan, masalah disiplin di kalangan para pelajar akan menjadi serius dan besar kemungkinan tidak dapat dikawal oleh pihak sekolah. Oleh itu, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diharapkan dapat memberikan sokongan yang padu untuk membenarkan pihak sekolah mempraktikkan kaedah ini.

Kesimpulannya, saya tetap yakin bahawa budaya merotan merupakan suatu kaedah yang dapat membanteras masalah disiplin dan gejala sosial di sekolah. Berdasarkan hujah-hujah di atas, hukuman merotan harus dikuatkuasakan semula. Sekian, terima kasih.


Format Menulis Karangan Laporan

1. Karangan jenis laporan bertujuan untuk melaporkan sesuatu hal atau peristiwa yang telah berlaku.
2. 2 jenis iaitu laporan rasmi dan laporan tidak rasmi.
3. Bahasa yang digunakan hendaklah ringkas, tepat dan berkesan.
4. Format:
a. Tajuk laporan ditulis dengan huruf besar abgi huruf pertama pada setiap perkataan dan digariskan di bawahnya.
b. Peristiwa yang berlaku perlu dicatat secara berurutan.
c. Tulis tarikh laporan dengan huruf besar dan diletakkan bersetentang dengan pengakuan pelapor.
d. Tulis nama pelapor di dalam kurungan dengan huruf besar.
e. Nama persatuan yang diwakili, ditulis selepas jawatan.

Contoh Karangan Laporan
Anda ialah Setiausaha Persatuan Sejarah di sekolah anda. Sediakan laporan tentang aktiviti tahunan Persatuan Sejarah sepanjang tahun 2005 untuk disiarkan dalam majalah sekolah. Panjang karangan itu hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

Laporan Tahunan Persatuan Sejarah
Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Beringin 2005

Penasihat :Encik Dahlan bin Ibrahim
Pengerus :Encik Ahmad bin Dollah
Naib Pengerusi :Cik Kamsiah binti Kassim
Setiausaha :Cik Azmah binti Othman
Bendahari :Cik Mona binti Ali
Ahli Jawatankuasa :Encik Ibrahim bin Amir
Encik Idham bin Jaafar

Persatuan Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Beringin dianggotai sebanyak 78 orang pelajar dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. Objektif utama penubuhan persatuan ini adalah untuk menyedarkan ahli persatuan akan kepentingan sejarah dalam kehidupan manusia dan seterusnya mendorong mereka untuk mencintai tanah air mereka sendiri. Semua aktiviti yang dijalankan pada tahun 2005 selaras dengan objektif tersebut. Senarai lengkap aktiviti tahun 2005 adalah seperti yang berikut:

1. Lawatan Sambil Belajar ke Muzium Negeri Melaka
Lawatan ini diadakan pada 25 Mac 2005. sebanyak 35 orang telah menyertai lawatan ini. Rombongan ini diiringi oleh guru penasihat Persatuan Sejarah, iaitu Cikgu Dahlan bin Ibrahim. Tujuan lawatan adalah untuk melihat bangunan-bangunan yang di bina pada zaman penjajahan Portugis dan Belanda. Setiap pelajar dikenakan bayaran sebanyak RM30 untuk menampung kos pengangkutan dan minuman ringan.

2. Pertandingan Kuiz Sejarah
Aktiviti ini telah dijalankan pada 22 Ogos 2005. pertandingan ini merupakan aktiviti menyambut bulan kemerdekaan. Pertandingan ini bertujuan untuk mendorong pelajar membuat kajian terperinci tentang perkembangan sejarah tanah air. Sebanyak 100 soalan objektif yang berkaitan dengan kemerdekaan dikemukakan. Pelajar menjawab soalan yang diedarkan pada waktu akhir pembelajaran. Mereka menjawab soalan di dalam kelas masing-masing. Pemenang tempat pertama bagi kategori menengah atas ialah Rashidah Ali (5 Sains 1) manakala kategori menengah rendah ialah Mohd Zaini Hamid (Tingkatan 3 Beta)

3. Sehari Bersama Tokoh Sejarah
Program ini diadakan pada 23 September 2005. tokoh yang dijemput ialah Datuk Abbas bin Ghafar, iaitu seorang pejuang kemerdekaan. Tujuan program ini diadakan adalah untuk mendekatkan para pelajar kepada tokoh sejarah yang sebenar.

4. Pameran Sejarah
Projek ini diadakan pada 12 September 2005 bertempat di Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Beringin. Projek ini bertujuan untuk mempamerkan segala hasil kerja ahli-ahli seperti lukisan, buku folio, catatan, dan kata-kata hikmat.

Secara keseluruhan, semua aktiviti persatuan telah mendapat sambutan. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli persatuan yang telah bekerjasama dalam menjayakan projek ini.

Disediakan oleh, 16 November 2005
.............azmah...................
(AZMAH BINTI OTHMAN)
Setiausaha,
Persatuan Sejarah,
Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Beringin,
Kuantan, Pahang.

Format Menulis Karangan Berita

1. Karangan jenis berita bertujuan untuk memberikan maklumat dan pengetahuan tentang sesuatu peristiwa penting kepada pembaca.
2. Terdapat beberapa jenis berita seperti berita sukan, jenayah, kemalangan, hiburan, dan hal-ehwal semasa yang berlaku di dalam dan di luar negara.
3. Isi karangan berita berkisar tentang lima perkara, iaitu apa, siapa, bila, dimana, dan menagapa.
4. Bahasa yang digunakan hendaklah ringkas dan mudah difahami.
5. Jumlah perenggan tidak dihadkan tetapi sebaik-baiknya setiap isi dalam satu perenggan.
6. Format:
a. Nama tempat – ditulis di sebelah kiri perenggan pertama dengan huruf besar dan diikuti tanda koma. Contohnya: KUALA TERENGGANU,
b. Tarikh – ditulis selepas nama tempat dan dibubuh tanda sempang ( - ). Contohnya: KUALA TERENGGANU, 17 Januari –
c. Isi berita – didahului dengan isi utama dan isi-isi yang kurang penting dikemudiankan.
d. Penutup – ringkas dan padat.

Contoh Karangan Berita

Sebagai pemberita di sebuah akhbar tempatan, anda telah dijemput ke majlis perasmian Program Latihan Kemahiran di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang. Tulis berita itu selengkapnya. Panjang karangan itu hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

KUANTAN, 17 Januari – Menteri Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Khalid bin Awang telah merasmikan Program Latihan Kemahiran Belia Negara Peringkat Negeri Pahang di Tingkat 5, Wisma Persekutuan Kuantan. Matlamat program ini adalah untuk memberikan penerangan kepada ibu bapa dan pelajar lepasan SPM supaya menyambung pelajaran pada peringkat sijil atau diploma di Institut Kemahiran Belia Negara atau IKBN selepas menduduki peperiksaan SPM.

Menurut beliau lagi, IKBN dibina oleh Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 1996. Kini, IKBN telah membuka lapan cawangan di seluruh Negara. Usaha ini membuktikan kesungguhan kerajaan menyediakan peluang-peluang latihan berbentuk kemahiran teknikal kepada belia-belia Malaysia seperti elektrik, elektronik, mekanikal, automatif, dan kejuruteraan awam.

Matlamat utama penubuhan IKBN adalah untuk melahirkan tenaga kerja mahir sebanyak mungkin bagi memenuhi keperluan sector perindustrian. Dengan cara ini, kerajaan dapat juga menangani masalah pengangguran di kalangan belia yang tercicir dalam pelajaran.

Sehubungan dengan itu, Encik Khalid bin Awang juga menyeru agar ibu bapa menghantar anak-anak mereka menyambung pelajaran di IKBN yang terdekat dengan tempat tinggal. Beliau juga menegaskan bahawa pihak kementerian akan menjalinkan kerjasama dengan pihak swasta untuk memperluas bidang praktikal di pelbagai industri. Oleh itu, peluang lepasan IKBN memperoleh pekerjaan selepas tamat belajar di IKBN terbuka luas.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar pengambilan pelatih baru IKBN diadakan dua kali setahun. Pengambilan tersebut akan disiarkan pada bulan November (kemasukan bulan Januari) dan bulan Mei (kemasukan bulan Julai) di akhbar-akhbar tempatan, radio, dan televisyen supaya tidak ada yang terlepas pandang.


Format Karangan Cereka/Melengkapkan Cerita

BENTUK PENULISAN KATA MAJMUK YANG TELAH MANTAP

Di sini saya sertakan senarai kata majmuk yang telah mantap dan dieja secara bercantum:

1. antarabangsa
2. beritahu
3. bumiputera
4. jawatankuasa
5. kakitangan
6. olahraga
7. matahari
8. setiausaha
9. sukarela
10. suruhajaya
11. tandatangan
12. tanggungawab
13. warganeara
14. pesuruhjaya
15. kerjasama

Semua kata majmuk di atas merupakan kata nama majmuk kecuali perkataan beritahu yang merupakan kata kerja majmuk.

Walau bagaimanapun, terdapat sejumlah perkataan yang tergolong dalam golongan kata tertentu yang lazimnya dieja bercantum:

Kata nama:
peribadi, peribahasa, hulubalang, dinihari, perikemanusaan

Kata adjektif:
sukacita, dukacta

Kata sendi nama:
kepada, daripada

Kata hubung
apabila, manakala, padahal, apakala, walhal, darihal, barangkali, kadangkala

PAK21 NORMAL BAHARU

https://www.flipsnack.com/RynnYusuf/pak21-normal-baharu-cp5gi3nvxn.html