LANGKAH-LANGKAH MENGATASI BEBANAN EKONOMI KELUARGA
Semua pihak telah maklum,
bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga adalah
terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang
suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam,
dan krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini
suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang
melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina
amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun
bahangnya mula dirasakan terutama sekali kepada keluarga yang berada pada garis
kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Beban kewangan adalah
antara fenomena yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, anak-anak
hendaklah memahami akan susah payah ibu bapa dengan cara melakukan pelbagai
prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung.
Budaya
berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh digunakan apabila berada dalam situasi
begini. Langkah tersebut amatlah pragmatik dalam menghadapi suasana darurat
dalam rumah tangga. Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat ringan yang
ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan hendaklah
bermula dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu seperti mengawal
penggunaan keperluan asas terutama elektrik dan air. Rata-rata ibu bapa
merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan sewenang-wenangnya
mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas terpasang ketika
tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat itu lunak dibicarakan
sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun segala-galanya adalah berpunca
daripada sikap. Contoh yang paling mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan
utilitinya di bawah daripada paras RM20 justeru penggunaan domestik tersebut
adalah percuama. Hal inilah sebenarnya hakikat amalan sedikit-sedikit
lama-lama menjadi bukit.
Anak-anak
yang baik adalah yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan
kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa
simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah akan
beratnya tanggungan bak kata peribahasa, seberapa berat mata memandang beratlah
lagi bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan
sikap bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan berbelanja sekadar
yang perlu sahaja. Amatlah malang sekali apabila ada anak-anak pada era
sekarang seakan-seakan tidak mempunyai sikap belas kasihan kepada ibu bapa.
Mereka mudah terdorong untuk menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah.
Mereka mendesak dan meminta-meminta sesuatu yang diluar upaya ibu bapa seperti
inginkan pakaian yang berjenama dan berselera untuk makan ditempat-tempat yang
eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak daripada sebarang pengaruh
dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang
sesama enggang masakan dapat terbang bersama.
Walaupun bebanan kos hidup semakin
meningkat, tetapi dalam sebuah negara seperti Malaysia, peluang untuk
memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka. Peluang-peluang kerja sambilan seperti
pembantu kedai dan berniaga secara kecil-kecilan mudah diperoleh di mana-mana
jua. Anak-anak yang baik sudah tentu dapat menghidu peluang tersebut dengan
cara melakukan kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-lebih lagi dalam
musim cuti sekolah. Perkara yang penting ialah ketepikan perasaan malu dan
malas. Sebenarnya telah banyak teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon
tersohor seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan
Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi konglomerat dengan memulakan
peniagaan dari bawah. Oleh itu, langkah yang terpenting setiap anak perlulah
mempunyai wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor
Soekarno, “Gantunglah cita-citamu di bintang yang
tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”.
Bak kata peribahasa, daun boleh melayang
jauh getah tetap mengalir ke perdu ialah peribahasa yang menerangkan bahawa,
anak-anak yang baik sentiasa kembali kepada induknya. Hal demikian amatlah
mustahak dijadikan pedoman oleh anak-anak yang telah menginjak usia dewasa.
Mereka ini hendaklah memperlihatkan
sikap membalas budi dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Setelah
bertahun-tahun ibu bapa mendidik dan menjaga, apabila sayap sudah penuh
kembalilah kepada induk untuk melihat susah payah mereka. Bantulah ibu bapa
atas kadar yang terdaya. Janganlah apabila telah besar panjang, ibu bapa
langsung tidak dijengah. Adik-adik yang masih kecil perlu dibantu. Malanglah
sangat apabila kedapatan anak-anak yang sudah besar remaja tetapi masih
bergantung kepada ibu bapa. Oleh itu, berpada-padalah dan sedarlah bahawa
setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Janganlah bersikap
kacang lupakan kulit, ibarat gemuk membuang lemak, cerdik membuang saudara.
Kaya atau miskin, susah mahupun senang
adalah menjadi sunnatullah. Semuanya adalah sebahagian daripada ujian Tuhan
terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal putus asa. Demi berhadapan dengan
cabaran kesusahan dan beban hidup, semua orang digalakkan berusaha dengan lebih gigih.
Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin esok ke atas. Prakara yang paling
penting ialah keinginan untuk berusaha dan tidak berputus asa. Peribahasa
menyatakan, di mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sebagai anak yang
sudah besar panjang perlulah mengorak langkah untuk memikirkan sebarang kerja
yang dapat meringankan beban ibu bapa. Dalam pada itu, sebagai insan yang tidak
putus daripada khaliq-Nya, kita perlu berdoa, bermuhasabah dan bermunajat agar
diberikan taufik dan hidayah oleh Allah sehingga terbuka jalan dan ikhtiar.
Yakinlah akan firman Allah dengan mafhumnya, “Tuhanmu tidak akan mengubah nasib
sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubah nasib mereka sendir”i. Insya-Allah jikalau kita gigih dan
tidak putus memohon petunjuk-Nya, nescaya limpah kurnia dan restu Allah akan
tetap bersama-sama kita.
Kesimpulannya, ketika berdepan dengan
pelbagai cabaran sebagai kesan daripada krisis kewangan, setiap keluarga tidak
boleh mati akal. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan penuh
tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab mereka
terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh menjadi
jambatan untuk menzahirkan impian, “Rumahku Syurgaku”. Semoga dengan sikap yang sentiasa
positif segala masalah akan usai juga akhirnya, ibarat sepanjang-panjang jalan
berliku ada penghujungnya.
(C/P)
(C/P)
No comments:
Post a Comment