Wednesday, March 28, 2012

Teks Ucapan Pengetua Sempena Hari Anugerah Pelajar



Bismillahirrahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Bukan jauh terlerai jodoh,
Mengapa menderu kenangan lebaran;
Bersatu teguh bercerai roboh,
Harapan dibahu buat kejayaan.

Saudara/Saudari Pengacara Majlis,
Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahin bin Dato’ Haji Mohd Said, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu, Merangkap Yang Dipertua PIBG SMK Manir,
Yang di Hormati En. Ariffin bin Ali, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Kurikulum, Teknik dan Vokasional,
Guru-guru Penolong Kanan, Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, Guru-guru Cemerlang, guru-guru, para ibu bapa seterusnya pelajar-pelajar yang diraikan sekalian.
Saya ingin merafakkan kesyukuran kehadrat Ilahi kerana masih diberi peluang sekali lagi untuk bersama-sama Tuan-tuan, Puan-puan serta hadirin dan hadirat sekalian daalam majlis yang penuh bersejarah kepada seluruh warga SMK manir pada pagi ini. Bagi pihak sekolah, saya ingin merakamkan penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ kerana sudi hadir bagi merasmikan majlis kita pada pagi ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
SMK Manir telah dirasmikan pada 30 Julai 1986 oleh YAB Menteri Besar Terengganu, dan telah diketuai oleh 10 orang pengetua sebelum ini. Saya merupakan pengetua ke-11 dan mula bertugas pada 1 Feb 2012. Bilangan murid sehingga kini ialah seramai 1502 orang selepas seramai 150 orang murid ke SMK Jeram pada awal Januari yang lepas, iaitu murid-murid Tingkatan 2 dan 4. Kita juga mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PKI) dengan seramai 29 orang pelajar. Bilangan guru pula seramai 135 orang dan staf bukan guru seramai 21 orang.
Yang Berhormat Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan,
Tahniah saya ucapkan kepada warga SMK Manir atas kecemerlangan yang telah dicapai dalam peperiksaan awam baru-baru ini. Berdasarkan keputusan PMR 2011 seramai 2 orang calon memperoleh 9A dan 8A semua mata pelajaran, iaitu Nor Hayatun Rahimah binti Rosli dan Nur Arina Diyana binti Padelah Shaimi. Sementara seramai 40 orang calon mendapat keputusan sekurang-kurangnya 4A. Keputusan Lulus Penuh Mata Pelajaran juga meningkat iaitu 54.77%, dengan Gred Purata Sekolah 3.12 berbanding 46.39% pada tahun 2010. Sebanyak 5 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan peratusan iaitu Kemahiran Hidup KMT, Kemahiran Hidup ERT, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, dan Sejarah.
Bagi SPM 2011 pula, kita juga telah mencatatkan peningkatan kelulusan Layak Mendapat Sijil iaitu 95% berbanding 91.1% pada tahun 2010. Hanya 16 orang pelajar sahaja yang Tidak Layak SPM, dan calon yang mendapat 5 Kepujian ialah 54.7% berbanding 51.6% pada tahun sebelumnya. Calon yang lulus semua mata pelajaran meningkat sebanyak 43.5% berbanding 37.9% pada tahun sebelumnya. Gred Purata Sekolah Sekolah bagi SPM 2011 ialah 5.91 berbanding 6.02 pada tahun 2010. Sebanyak 10 mata pelajaran yang mencatatkan kelulusan 100% iaitu Sains Pertanian, Ekonomi Rumah Tangga, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah, Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Seni Visual, Fizik, Pengetahuan Sains Sukan, Menservis Motosikal dan Biologi. Manakala sebanyak 8 mata pelajaran menunujukkan peningkatan kelulusan iaitu Bahasa Melayu, Sains, Matematik Tambahan, Pendidikan Islam, Sejarah, Bahasa Inggeris, Lukisan Kejuruteraan dan Ekonomi Asas.
Tahniah dan syabas kepada 4 orang murid yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2011 iaitu Muhammad Hafiz bin Hussin (9A 2B), Nor Atikah binti Ramli (9A 2B), Fatin Nor Amalina Othman (8A 1B), dan Nurul Maisarah binti Mustaffa (8A 3B).
Seterusnya bagi STPM 2011 pula, sebanyak 45% pelajar telah mencatatkan keputusan 4P, 18.33% bagi 3P, 11.67% bagi 2P dan 16.67% bagi 1P. Gred Purata Sekolah pala ialah 2.10 dengan sebanyak 91.67% Lulus Penuh. Tahniah kepada pelajar terbaik STPM 2011 iaitu Wan Ahmad Amiruddin bin Wan Mohamad yang telah mencatatkan 3.42 NGMP. Beberapa mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan dari segi peratusan iaitu Pendidikan Seni Visual 3, Geografi, Sejarah 2, Ekonomi, Bahasa Malaysia 1 dan MUET.
Tahniah dan syabas sekali lagi kepada semua pelajar-pelajar cemerlang yang telah mengharumkan nama sekolah dalam peperiksaan awam baru-baru ini.
Tuan-tuan dan hadirin hadirat sekalian,
Saya bersyukur kerana pelbagai program yang telah dijalankan iaitu pembestarian PMR, SPM dan STPM dengan memberi fokus kepada aktiviti kecemerlangan akademik seperti MBMMBI (Memperkasa Bahasa Melayu, Mempertingkatkan Bahasa Inggeris, Kem-kem Bestari, Tautan Kasih, Solat Hajat Perdana, Temu Murni dan Akujanji Pelajar telah memberi impak yang positif dalam merealisasikan kejayaan para pelajar. Namun, program-program-program ini akan diperkasakan lagi dengan program-program Sahsiah, Disiplin dan Kokurikulum yang akan dan sedang dijalankan sekarang seperti;
Sahsiah
- Bacaan al-Quran dan Tazkiran Pagi
- Solat Hajat
- Solat Berjemaah
- Sambutan Maulidurrasul
- Orientasi T1, T4 dan T6
- Kem Bestari Solat
- Kem Imam Muda
- Program Penghayatan Ramadhan
- Hala Tuju SPM
- Qiamulail
- Program Sekolah Penyayang
- Kem Kepimpinan Dakwah
- Kem Bina Insan
Disiplin
- Buku Peraturan Sekolah
- Pertemuan Ibu Bapa
- Bimbingan Kaunseling
- Memujuk Pelajar Ponteng
- Program Bersama Pelajar Perempuan
- Penampilan Diri Kemas dan Berdisiplin
- Bulan Disiplin
- Minggu Anti-dadah
Kokurikulum
- Kejohanan Merentas Desa
- Kejohanan Olahraga
- 1Murid 1Sukan
- Minggu Kokurikulum
- Hari Koperasi Sekolah
- Perkhemahan Unit Beruniform
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Saya amat berbangga kerana sekolah ini telah meraih beberapa kejayaan, antaranya mengekalkan kejuaraan Lorong Anti-dadah Sekolah Menengah peringkat negeri Terengganu, Pengurusan Kantin Terbaik dan beberapa anugerah lain dalam bidang sukan dan kokurikulum. Tahniah kepada Muhamad Muslim bin Yusof kerana dipilih sebagai Tokoh Khas Kokurikulum Sekolah pada tahun 2011 kerana berjaya mengharumkan nama sekolah dalam bidang sukan olahraga. Kita berharap agar sekolah ini dapat mengekalkan kegemilangan yang telah dicipta.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Saya juga berbesar hati memaklumkan bahawa kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar bagi merapatkan jurang pendidikan selaras dengan agenda utama dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar. Bantuan persekolahan yang disediakan mampu memenuhi matlamat dalam memastikan semua sekoalh dan murid mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk mencapai kecemerlangan sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Sejumlah RM20,092.28 telah diperuntukkan oleh kerajaan kepada setiap murid sekolah menengah iaitu dari Kementerian Pelajaran Malaysia ialah sejumlah RM18,799.50 dan dari Kerajaan Negeri melalui Program Anjung Ilmu iaitu sebanyak RM1292.78 bagi seorang murid. Peruntukan-peruntukan ini disediakan sama ada berbentuk biasiswa seperti Biasiswa Kelas Persediaan Universiti, BKP, Skim Pinjaman Buku Teks, Bantuan Pakaian Seragam Sekolah, Bantuan Bayaran Tambahan Persekolahan, Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Baucar Buku 1Malaysia dan sebagainya. Peruntukan yang besar daripada kerajaan ini diharapkan dapat menjana kecemerlangan pendidikan di negara kita selaras dengan cita-cita negara bagi melahirkan pelajar-pelajar dan modal insan yang mampu memartabatkan nama negara di persada antarabangsa. Diharapkan agar tuan-tuan dan puan-puan dapat memberi galakan dan semangat kepada anak-anak kita untuk terus maju jaya memandangkan kerajaan telah membelanjakan sejumlah peruntukan yang besar bagi menjamin kecemerlangan mereka.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Saya bagi pihak sekolah juga amat berbesar hati mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ kerana sudi memberi sumbangan untuk kecemerlangan sekolah kita. Antara sumbangan terbaru ialah Hadiah Kecemerlangan Dato’ Mohd Said, iaitu memberi penghargaan berbentuk wang tunai kepada pelajar yang telah mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam. Pada kali ini, ucapan tahniah perlu kita berikan kepada penerima sulung anugerah ini iaitu, Muhammad Hafiz bin Hussin, Nor Atikah binti Ramli, Fatin Nor Amalina binti Othman dan Nurul Maisarah binti Mustaffa, yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2011. Diharapkan Hadiah Kecemerlangan Dato’ Mohd Said ini dapat menjadi perangsang kepada pelajar-pelajar ini untuk terus berjaya dengan cemerlang, seterusnya juga dapat memberi dorongan kepada pelajar-pelajar lain untuk terus berusaha bersungguh-sungguh dalam bidang akademik.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Saya bersyukur kerana mendapat kerjasama yang padu daripada semua guru dan warga sekolah yang sanggup menggalas tugas dengan penuh komitmen bagi kecemerlangan pelajar umumnya. Harapan saya agar sekolah kita mampu terus menjana kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Harapan saya untuk kecemerlangan di sekolah ini ialah;
- Memperkasakan kualiti komitmen kerja pendidikan dan persekolahan bagi melonjakkan pendidikan dan persekolahan
- Komitmen, kejujuran dan keikhlasan dalam kalangan warga sekolah
- Memperkasa permuafakatan dalam organisasi melalui kerjasama yang erat dalam kalangan warga sekolah serta ibu bapa
- Semua guru perlu fokus kepada visi dan tanggungjawab untuk membangunkan sekolah sebagai sekolah pilihan masyarakat
- Melahirkan murid cemerlang akademik, sahsiah, dan kokurikulum
- Fokus gred kepada minimum C serta penguasaan semua subjek
- Guru dapat melakukan anjakan paradigm bagi merealisasikan sasaran sekolah
- Membudaya dan memperkasa kajian tindakan di dalam bilik darjah
- Pelaksanaan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) di sekolah
Saya juga berasa sungguh bertuah kerana mempunyai barisan PIBG yang prihatin dengan pembangunan pendidikan anak-anak di sekolah ini. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Dato’ selaku YDP PIBG sekolah ini yang sentiasa memastikan dan mengambil cakna terhadap kecemerlangan pelajar.
Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada semua murid yang berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum. Begitu juga kepada para guru yang berhempas pulas dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mendidik anak-anak kita. Wajarlah hari ini pihak sekolah memberi penghargaan atas usaha dan penat lelah mereka. Diharapkan anugerah ini terus membakar semangat masing-masing untuk terus maju jaya. Pihak sekolah juga terhutang budi kepada Yang Berhormat Dato’ dan barisan PIBG yang lain dan kami mengucapkan ribuan terima kasih.

Pohon sirih pohon selasih,
Tumbuh merimbun di hujung laman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Menjadi kenangan sepanjang zaman.

Terima kasih.

3 comments:

  1. terima kasih dengan teks ini.Boleh dijadikan panduan.ok.

    ReplyDelete
  2. Sama2 Diharapkan dapat dimanfaatkan dan dijadikan panduan.

    ReplyDelete
  3. Salam. Terima kasih untuk berkongsi bahan ni. Saya boleh jadikan panduan untuk memberi ucapan jika diperlukan.

    ReplyDelete