Susun papan satu persatu,
Agar
redup dahan rumbia;
Hidup berjiran bantu –membantu,
Agar hidup harmoni
bahagia.
Maksud pantun di atas jelas memaparkan kepentingan hidup berjiran. Amalan
bantu-membantu sesama jiran menjamin kehidupan masyarakat yang harmoni dan
bahagia. Namun, pada era globalisasi kini, semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat semakin luntur.Kehidupan moden yang mementingkan
kebendaan telah menghanyutkan manusia dalam arus kesibukan yang tidak
bernoktah sehingga jalinan hubungan antara jiran tetangga
disisihkan. Fenomena ini semakin membimbangkan sekiranya menjadi ikutan
golongan remaja kerana tingkah laku dan sikap remaja sebenarnya banyak
dipengaruhi oleh orang tua mereka. Contohnya,
sekiranya ibu bapa tidak pernah bertegur sapa atau tidak mengenali siapa jiran
di sebelah rumah, sudah pasti sikap ini akan dicontohi oleh anak-anak
remaja mereka persis ungkapan bapa borek anak rintik, bagaimana
acuan , begitulah kuihnya. Siapakah insan yang pertama
menghulurkan bantuan jika kita dilanda musibah kalau bukan jiran di sebelah
rumah. Justeru, peranan ibu bapa sangat penting dalam menghidupkan
semangat kejiranan dalam sanubari generasi muda demi merealisasikan hasrat
mewujudkan kehidupan masyarakat yang harmoni.
Memang tidak dapat dinafikan, ibu bapa merupakan suri teladan atau
role-model kepada anak-anak . Oleh itu, tindak tanduk dan sikap ibu bapa
terhadap jiran akan diperhatikan dan dicontohi oleh anak-anak mereka.
Ibu bapalah yang mengasuh dan mendidik anak-anak dari tapak
kaki sebesar dua jari sehinggalah meningkat remaja. Umpama sehelai
kain putih, anak-anak perlu dicorakkan bukan dengan sahaja nilai-nilai agama
malah nilai-nilai sosial yang murni. Justeru dalam usaha memupuk semangat
kejiranan dalam jiwa anak-anak-anak, ibu bapa sendiri perlu mengorak langkah
dengan menjalinkan hubungan yang baik sesama jiran tetangga. Contohnya,
ibu bapa perlu menunjukkan sikap sentiasa mesra dengan jiran, bertegur sapa dan
bertanya khabar apabila bersua muka, dan sebagainya. Ibu apa juga
perlu menerangkan tentang peranan dan kepentingan jiran kepada anak-anak sejak
kecil supaya mereka menghargai jiran tetangga sebagai sebahagian
daripada kehidupan mereka. Bak kata perpatah, melentur buluh
biarlah dari rebungnya, usaha memupuk amalan dan pergaulan yang
baik dengan jiran sejak kecil lagi akan kekal dipraktikkan oleh anak-anak
sehingga mereka meningkat remaja.
Selain itu, ibu bapa juga perlu melibatkan anak-anak dalam
perkara-perkara yang berkaitan hubungan dengan jiran supaya anak-anak dapat
mempraktikkan sendiri nilai-nilai kejiranan tersebut. Tak kenal maka tak
cinta, justeru, amalan kunjung-mengunjung mesti diamalkan supaya
dapat mengenali jiran dengan lebih dekat dan seterusnya kemesraan dapat
diwujudkan. Janganlah dibiarkan anak-anak remaja kita terlalu leka
menonton televisyen, bermain permainan komputer atau melayari internet sehingga
tidak endah dengan suasana di sekeliling. Contohnya, ibu bapa boleh
membawa anak-anak mengunjungi jiran tetangga ketika sambutan Hari Raya, Tahun
Baru Cina atau Deepavali. Apa yang sering berlaku setiap kali hari
kelepasan sempena Hari Raya contohnya, ahli keluarga termasuk ibu bapa leka
menonton televisyen kerana banyak program menarik disiarkan. Mereka lebih
rela memerap di rumah untuk menonton program kegemaran menyebabkan budaya kunjung-mengunjung
semakin dipinggirkan. Justeru, ibu bapa mesti mengubah fenomena ini ,
lebih-lebih amalan ziarah-menziarahi ini menjadi lebih penting jika jiran kita
jatuh sakit atau mengalami masalah. Ibu bapa perlu bijak memujuk
anak-anak untuk turut sama menziarahi jiran supaya amalan ini dapat dipupuk
dalam kalangan remaja.
Tambahan pula, program-program yang dianjurkan oleh masyarakat di sesebuah
kawasan kejiranan turut dapat memupuk semangat bantu-membantu,
hormat-menghormati dan berkerjasama dalam kalangan masyarakat di kawasan
tersebut. Aktiviti seperti gotong-royong membersihkan kawasan taman
perumahan, aktiviti Hari Keluarga, Rukun Tetangga, dan sebagainya boleh
dianjurkan oleh ahli jawatankuasa yang berkenaan. Di kawasan kampung
misalnya, aktiviti marhaban pada Hari Raya, rewang ketika kenduri-kendara atau
majlis perkahwinan, kumpulan bacaan Yasin dan sebagainya juga merupakan
aktiviti yang sangat penting untuk memupuk semangat kejiranan ini.
Di sinilah ibu bapa memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan
mereka dan anak-anak remaja melibatkan diri secara aktif. Janganlah
ketiadaan masa atau ingin berehat setelah penat bekerja dijadikan alasan
sehingga aktiviti yang bermanfaat ini tidak mendapat sambutan yang sewajarnya.
Melalui aktiviti ini remaja berpeluang mengenali jiran dengan lebih dekat,
beramah mesra terutama dengan jiran yang seusia dengan mereka, menghormati
jiran yang lebih tua dan secara tidak langsung akan menyedari bahawa aktiviti
seumpama ini adalah yang terbaik bagi mengisi masa lapang remaja. Seperti
ungkapan serampang dua mata, aktiviti yang dianjurkan
ini diharapkan bukan sahaja dapat memupuk dan menghidupkan semula semangat
hidup berjiran malah dapat mengurangkan ketaksuban dan kegemaran remaja
terhadap aktiviti yang berkaitan dengan kecanggihan alat teknologi, gajet dan
internet.
Kesimpulannya, hidup berjiran merupakan amalan yang wajar dipelihara dalam
masyarakat pada masa kini. Tanpa hubungan yang baik dengan jiran,
kepincangan sebenarnya telah berlaku dalam keperibadian seseorang ahli
masyarakat. Justeru, sebagai pemimpin keluarga, perlakuan ibu bapa semasa
bergaul dengan jiran akan meninggalkan gambaran yang mendalam kepada
remaja. Natijahnya, ibu bapa yang prihatin tentang hubungan sesama jiran
pasti akan melahirkan remaja yang dapat hidup berbaik-baik dengan jiran,
seterusnya mampu mewujudkan masyarakat Malaysia yang hidup bersatu padu,
harmoni dan bahagia.
(CNP)
Adalah ini semangat kejiranan fenomena Yang berlaku?
ReplyDelete