Dalam mendepani era modenisasi pada abad-21 kini, dunia menyaksikan
iktisad (ekonomi)negara membangun
seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara yang semakin
pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama
hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namun
begitu, isu memupuk semangat kejiranan masih menjadi polemik dalam
kalangan marhaen (golongan
bawahan) di Malaysia. Dewasa ini, semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat kita semakin hari semakin terpinggir. Maasyarakat pada hari
ini lebih mementingkan diri sendiri dan membudayakan hidup bagai enau
dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dari
segi konsepnya semangat kejiranan boleh ditakrifkan sebagai suatu
perasaan yang harus dipupuk oleh setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira
warna kulit bangsa dan agama dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum demi
negara yang tercinta. Biasanya semangat kejiranan merangkumi semua lapisan
masyarakat tidak kira muda ataupun tua yang perlu kita amalkan. Menurut
Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling
kita sama ada di depan, belakang, kiri , atau pun kanan dan merupakan orang
pertama yang membantu kita ketika kita berada dalam kesusahan. Hal ini
boleh dianalogikan seperti awan yang melindungi bumi daripada cahaya matahari.
Oleh itu, langkah yang signifikan harus diambil bagi menerapkan semangat
kejiranan kepada semua lapisan masyarakat.
Cara
yang afdal untuk memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa perlu
menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini kerana ibu bapa merupakan
guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa menunjukkan
teladan yang baik kepada anak-anak maka mereka akan mencontohi
teladan yang ditunjukkan kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Sekiranya ibu bapa menunjukkan suri teladan yang buruk kepada anak-anak maka
mereka akan menjadi anak-anak yang jahat malah lebih teruk lagi. Hal
ini boleh dianologikan seperti anak burung yang baru belajar terbang daripada
ibunya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah mengunjungi atau menziarahi jiran
tetangga walaupun mereka berada dalam keadaan yang baik atau tidak. Selain itu,
ibu bapa haruslah tidak sombong dengan jiran dan sering bertegur-sapa agar dapat
memupuk semangat kejiranan. Kesannya, semangat kejiranan dapat dipupuk antara
jiran dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa sekali gus dapat mewujudkan
masyrakat yang harmoni. Sekiranya cara memupuk semangat kejiranan dapat dipupuk
oleh ibu bapa maka negara dapat melahirkan generasi yang bijaksana dan
bekerjasama dalam mentadbir membangunkan negara ke arah
kemajuan negara pada masa akan datang. Tegasnya, contoh teladan yang
terbaik daripada ibu bapa mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
anak-anak.
Memetik
wasitah nirmala seterusnya, minhaj (cara) untuk memupuk semangat
kejiranan dalam masyarakat setempat di Malaysia ialah program rukun
tetangga di kawasan perumahan mesti dihidupkan semula. Hal ini kerana
program rukun tetangga berfungsi sebagaiperisai untuk mengawal keselamatan
kawasan perumahan terutama pada malam hari. Anggotanya membabitkan semua
pihak tanpa mengira kaum kerana masing-masing bertanggungjawab menjaga
keselamatan kendiri dan keluarga. Sebagai contohnya, anggota rukun tetangga
akan bergilir-gilir bertugas meronda kawasan tanpa mengira usia, agama dan
status. Secara ghalibnya (lazimnya), senario ini akan mewujudkan
jalinan hubungan yang mesra bagai isi dengan kuku sekali
gus memupuk semangat kejiranan yang hakiki (sebenar). Menurut Tun Dr. Mahathir,
jiran yang muafakat akan membentuk masyarakat yang harmoni. Oleh itu, kita
perlu mengaktifkan program rukun tetangga bagi melahirkan semangat kejiranan
yang utuh dan bersatu padu.
Meninjau
dari skop yang lain, langkah yang seterusnya adalah dengan mengadakan
aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran
dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan
dilakukan. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong
adalah seperti membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan
untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka
akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan
seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat
digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal
maka tak cinta. Selepas mengenali hati budi antara satu sama lain
barulah benih-benih kasih sayang. Melalui cara ini, masyarakat yang penyayang
dapat dilahirkan di samping dapat menerapkan pelbagai nilai murni. Tun
Dr. Mahathir, Mantan Perdana Menteri pernah menegaskan bahawa dengan
melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan
pelbagai nilai murni dalam diri. Bukan itu sahaja, kawasan kediaman
juga akan menjadi bersih dan terpelihara daripada penyakit demam denggi.
Jelaslah bahawa aktiviti gotong-royong dapat memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat.
Jika
dilihat dari perspektif yang lain, kita juga hendaklah mengadakan
majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini
dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam
kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanyakan
khabar dan bercerita tentang pengalaman masing-masing dengan lebih dekat.
Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat
berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan
oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun
Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka
hendaklah dijadikan acara tahunan.Maka, dengan adanya pengimplimentasian
program seperti “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap sambutan perayaan,
rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi
antara satu sama lain ibarat kata bidalan, “serumpun seperti serai, seikat
seperti sirih”. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari
Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan keberhasilan penganjuran program
“Rumah Terbuka Kebangsaan” dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di
sembilan buah kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Pendek kata,
majlis rumah terbuka mampu mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Lontaran idea yang seterusnya ialah kita mestilah menyemarakkan budaya
kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk
dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan
menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan
kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung
ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital
kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya,
namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha
kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai
semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan
keperitan yang dialami oleh jiran kita. Dengan ini, kita dapat meringankan
penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Izharlah bahawa amalan
ziarah-menziarahi mampu menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat kita.
Sebagai
menggulung segala lontaran idea yang telah dinyatakan, dapatlah disimpulkan
bahawa terdapat beberapa cara yang dapat dipraktikkan untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Dalam era globalisasi ini, sikap
mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin
menebal. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan
seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara kerana bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh. Oleh itu, kita perlu memupuk semangat
kejiranan bermula daripada sekarang. Cogan kata “Jiran
Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita
sehari-hari. Golongan remaja seharusnya menyuburkan semangat kejiranan
kerana mereka merupakan pemimpin yang akan mewarnai corak pemerintahan pada
masa hadapan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan usaha ini pada
bahu satu pihak kerana bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi.
Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi ibarat berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing untuk menghidupkan semangat kejiranan di
negara kita. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia,
sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu
kenal-mengenali”. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang
mempunyai perpaduan yang utuh dan kukuh.
(CNP)
Dalam banyak-banyak karangan saya jumpa,saya rasa inilah karangan Yang paling terbaik yang pernah saya nampak,banyak ungkapan,banyak perkataan bombastik,ayat pun banyak yang bagus-bagus..memang taraf SPM karangan ni...keep it up!! ����
ReplyDeletesemoga bermanfaat..
Deleteterima kasih cikgu atas perkongsian cikgu kepada pelajar yang bakal menduduki SPM nanti.
ReplyDeletesama-sama... semoga berjaya
DeleteCikgu, jika isi langkah untuk memupuk semangat kejiranan ialah mengamalkan sifat keterbukaan, meningkatkan sumber rohani kerana setiap agama mengamalkan persefahaman dan perpaduan dan meningkatkan kemahiran sosial. Adakah isi tersebut diterima oleh penyemak dan dianggap relevan?
ReplyDeleteboleh diterima. Huraian diharapkan mantap dan berkesan. terima kasih
ReplyDeletemacam tak puas baca karangan ini.....cantik susunan ayat karangan cikgu..tahniah dan syabas....terima kasih atas perkongsian ini.
ReplyDeletePerfect...
ReplyDelete😍
Sangat bermanfaat👍
ReplyDeletevere level
ReplyDeleteTerima kasih! Contoh Karangan ini sangat menarik!
ReplyDeleteBaik 💪
ReplyDelete