Sukan bukanlah
semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau
sebagai riadah kecil mengeluarkan peluh.Mutakhir ini ,pemodenan sukan bergerak
seiring dengan kemajuan dunia dan membawa falsafah yang lebih berat.
Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih
dinamik dan profesional. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah
banyak membawa manfaat. Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan
dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di gelanggang
sahaja. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada maasyarakat?
Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu
mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih
banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran.Golongan profesional dan separa
profesional dalam membangunkan negara sering kali terpaksa mengabaikan kegiatan
fizikal kerana kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan semua lapisan
masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Penglibatan
golongan kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai kegiatan sukan
dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Kegiatan sukan merupakan
langkah awal seperti kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan” dalam
mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit
jantung. Kegiatan sukan juga dapat membantu mereka yang telah menghidap
penyakit untuk kembali pulih. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga
mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental. Sesungguhnya
kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak yang
berlebihan dalam salur darah dan jantung ,membantu perkumuhan dan membuang
sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh badan. Tegasnya, penglibatan dalam bidang
sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat yang sihat.
Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa lapang seseorang. Masa lapang
sebenarnya amat berharga bagi setiap individu atau masyarakat. Seseorang
yang melibatkan diri dalam bidang sukan juga adalah satu cara mengisi masa
lapang dengan berfaedah. Masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa minit,
masa itu sangat berharga .Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan
untuk bersukan bagi mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan. Bagi
golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri
daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , vandalisme dan
membuang masa sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat dalam pengambilan
dadah. Sukan dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan
cara yang lebih baik. Kesan yang jelas ialah sukan mampu meningkatkan swadaya
masyarakat dan melangkah gagah dengan yakin ke peringkat
antatabangsa walaupun melalui ranjau pidana dunia persaingan hari
ini. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat memanfaatkan masa
dengan lebih bermakna.
Di samping itu, sukan merupakan salah satu instrumen penting untuk
mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat. Hal ini demikian
kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk
meraih kemenangan. Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui
penglibatan dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung,
bulat manusia kerana muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat
melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat menyatupadukan
masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama.
Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan
meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat
dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Justeru , kegiatan
sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan
hubungan.
Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan
secara individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional
boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya yang lumayan. Penganjuran dan pengusaha
peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang besar.
Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat glokal dan
global mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran wang asing. Seiring
dengan itu, industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi.
Kemajuan sukan menampakkan hala tuju anak muda yang berkebolehan
mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai kerjaya masa
depan mereka. Pemain bola sepak secara professional, pemain badminton
seperti Datuk Lee Chong Wei dan Shalin Zulkifli masing-masing menjadikan
badminton dan bowling sebagai kerjaya. Jelaslah sukan juga dapat menjadi
kerjaya yang baru kepada masyarakat.
Kesimpulannya,
penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada
masyarakat.Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua
jenis sukan. Sukan diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu
padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu mengangkat martabat
rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah dan berdiri
sama tinggi dengan Negara maju yang lain. Sesungguhnya, sukan berfaedah
kepada individu, masyarakat dan negara. Tegasnya, kegiatan sukan wajar
digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.
Terima kasih, karangan yang mempunyai isi yang menarik dan cara penyampaian yang mudah di gunakan. Saya berdoa agar soalan karangan spm 2019 Akan keluar soalan karangan berkaitan sukan. Di situ lah saya akan gunakan semua karangan ini
ReplyDeleteYaa ... Bagus sekali
DeleteTerima kasih. Contoh Karangan ini memang banyak membantu!
ReplyDeleteTerima kasih cikgu
ReplyDelete