Saturday, January 26, 2013

Kepentingan Bahasa Kebangsaan/Bahasa Melayu


Dalam kerancakan penduduk jagat raya menari-nari bersama bayang-bayang pemodenan, kerajaan yang diumpamakan sebagai jantung negara mestilah menjalankan langkah proaktif bagi mengatasi setiap kemelut yang melanda negara kita. Seperti yang kita ketahui, slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ acap kali di wara-warakan di dada-dada akhbar, di corong-corong radio dan televisyen serta galakan daripada tokoh-tokoh terkemuka di negara kita sendiri. Namun begitu, masih ada lagi insan yang tidak menghargai bahasa kebangsaan sebaliknya mengagung-agungkan bahasa-bahasa lain terutama bahasa Inggeris dan sebagainya. Lantaran itu, setiap individu tidak sewajarnya memandang enteng terhadap perkara ini. Setiap pihak harus menggembleng tenaga dalam memartabatkan bahasa kebangsaan supaya bumi emas Malaysia dapat ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ setaraf dengan negara-negara membangun yang lain. Bahasa kebangsaan mempunyai pelbagai kepentingan terutamanya kepada masyarakat pelbagai kaum, yang berbumbungkan langit yang sama, dan bertanahkan bumi Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu.  

Pada zaman milenium ini, bahasa sudah biasa dijadikan sebagai cerucuk utama dalam melambangkan sesuatu bangsa dan negara. Bahasa merupakan satu simbolik perdana perdana dalam menentukan martabat bangsa dan negara. Bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dapat mengharumkan nama negara di seantero jagat ini. Sebagai contoh, ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, Tanah Melayu telah menjadi palabuhan entreport yang penting. Rentetan daripada itu, bahasa Melayu telah dijadikan bahasa perhubungan atau lingua franca di Asia Tenggara. Jelaslah di sini bahawa bahasa kebangsaan akan dipandang tinggi jika setiap rakyat berusaha menghargainya.

Peribahasa ada mengatakan, ‘tak kenal maka tak cinta’, yang jelas menunjukkan bahawa perlunya proses mengenali sebelum mencintai sesuatu. Begitu juga dengan bahasa kita. Dengan mengenali bahasa kebangsaan kita, kita sentiasa dapat menyemai sikap cintakan negara walau ke pulau manapun kita dicampak. Sebagai contoh, jika kita ditakdirkan menyambung pengajian di negara Barat, kita seharusnya memperkenalkan bahasa Melayu dan berbangga apabila bertutur dalam bahasa ini. Jika kita sudah terbiasa bertutur dalam bahasa Melayu, kita akan menjadi ‘alah bisa, tegal biasa’. Terbuktilah bahawa penghargaan kita terhadap bahasa kebangsaan mampu menjadikan kita memartabatkan negara kita sendiri.

Ketika zaman penjajahan British, orang-orang Melayu ditindas, dan ekonomi orang Melayu tidak memberangsangkan, lantaran itu, sifat British yang sering ‘menanam tebu di bibir mulut’ telah berjaya membawa masuk imigran Cina dan India sehingga melahirkan masyarakat majmuk di negara ini. Lantaran itu, bahasa kebangsaan amat penting sebagai ejen penyatuan dan perpaduan antara kaum di Malaysia. Bahasa Melayu juga telah dijadikan sebagai bahasa rasmi di negara kita. Kita dapat melihat semua bangsa Malaysia pada era ini menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan. Sebagai contoh, semua sekolah kebangsaan telah diseragamkan dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Hal ini bagi mengelakkan persengketaan antara kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 daripada berlaku lagi. Tegasnya, bahasa Kebangsaa mampu menjadikan setiap kaum di negara kita bersatu-padu persis kata mutiara, ‘ bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.

Darsawarsa ini, setiap negara sedang bersaing bagi menguasai alam jagat ini. Negara Malaysia pula sedang berusaha bagi merealisasikan Wawasan 2020. Dalam menjayakan wawasan ini, kita seharusnya mempunyai identiti sendiri yang mampu menaikkan nama negara di mata dunia. Warganegara Malaysia yang memasuki pertandingan atau perlawanan sukan hingga ke peringkat antarabangsa seharusnya memperkenalkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita. Sebagai contohnya, Datuk Lee Chong Wei yang telah menjadi Juara Badminton Dunia akan dikenali di seluruh dunia, dan sudah semestinya membawa sekali identiti Malaysia bersama-sama kejayaannya. Dengan itu, bahasa Melayu akan mula dikenali dari semasa ke semasa. Sebagai intihanya, bahasa Melayu mencerminkan identiti negara yang masyhur di persada dunia. 

Tanpa kita sedari, bahasa kebangsaan dapat meningkatkan taraf ekonomi di negara kita. Dalam mendepani arus globalisasi, rakyat di negara kita sedang menggembleng tenaga bagi mencapai kecemerlangan dalam kehidupan. Jika semua kaum dapat menjalankan aktiviti ekonomi dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantaraan, kita semua dapat bersatu untuk saling melengkapi. Masyarakat Melayu, Cina, dan India sentiasa berbincang dan bertukar fikiran tentang ekonomi dengan menggunakan satu bahasa. Justeru, setiap pihak akan jelas dan dapat merealisasikan matlamat negara kita iaitu untuk mencapai Wawasan 2020 yang berbaki lapan tahun lagi. Kita seharusnya bekerjasama persis peribahasa, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, namun begitu, tidak boleh ada kaum yang ‘bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Percayalah bahawa bahasa kebangsaan mampu dijadikan wadah dalam meningkatkan taraf ekonomi negara Malaysia bagi menuju visi dan matlamat Wawasan 2020.

Bahasa kebangsaan membawa pelbagai kemaslahatan kepada bangsa dan negara. Ada pepatah yang mengatakan, ‘hilang bahasa, lenyaplah bangsa’. Di sini jelaslah pada kita bahawa bahasa amat penting untuk mengekalkan keamanan negara. Memandangkan kita hidup dalam kelompok masyarakat majmuk, kita seharusnya mengutamakan bahasa Melayu, kerana bahasa kebangsaan inilah yang mengikat perpaduan antara kaum. Apabila semua masyarakat bertutur dalam bahasa Melayu, maka ‘alah bisa tegal biasa’ dan akan bercambah rasa cinta akan negara. Sesungguhnya bahasa kebangsaan mampu membawa keamanan antara kaum di Malaysia.

“Kita satu bangsa, kita satu negara, kita satu matlamat…” Begitulah sedikit bait-bait lirik lagu patriotik yang sering berkumandang di corong-corong radio dan di televisyen. Kesimpulannya, setiap pihak mestilah memainkan peranan penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan di negara kita. Hal ini dapat mendorong kita mencapai matlamat Wawasan 2020 seterusnya melahirkan masyarakat mawaddah dan sakinah. Namun begitu, hal ini hanya mampu direalisasikan sekiranya setiap warganegara Malaysia mencintai dan berusaha menaikkan nama Malaysia di seantero dunia. Jelaslah bahawa bahasa kebangsaan mempunyai kepentingan yang jitu untuk semua kaum di negara ini.

16 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. cikgu, saya minta izin untuk jadikan karangan cikgu sbg contoh ya

    ReplyDelete
  3. Cikgu, saya minta izin nak jadikan karangan cikgu sebagai panduan saya ye

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
  4. Replies
    1. Terima kasih dengan batuan untuk topik oral saya��

      Delete
  5. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  6. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  7. Terima kasih cikgu karangan cikgu mejadi contoh karangan yang baik

    ReplyDelete

PAK21 NORMAL BAHARU

https://www.flipsnack.com/RynnYusuf/pak21-normal-baharu-cp5gi3nvxn.html