Wednesday, December 1, 2010

cerpen IBRAHIM BELALANG

Tajuk:
IBRAHIM BELALANG
Oleh: Cg. Salina


Kreng kreng... krang... kreng...!
Ibrahim menarik tin-tin kosong yang dicucuknya dengan tali, kemudian ditariknya di atas jalan tar. Bunyinya cukup menyakitkan telinga dan sesiapa yang sakit gigi, pastinya menambahkan denyutan gusi.

Tapi, Ibrahim tahu apa. Dia bangga dapat cari tin-tin itu. Banyak pula tu. Dapat juga dua tiga kilo petang ni. Dapat dua ringgit. Puaslah dia duduk terhendap-hendap mengais-ngais tin-tin di celah-celah semak, takpun di belakang dapur jiran-jiran yang baunya meloyakan. Ada juga yang ditimbanya dalam parit air kumbahan dapur. Airnya kehitam-hitaman, baunya macam telur busuk. Tapi, Ibrahim tak hiraukan itu. Baginya itulah punca rezekinya.

Ibrahim manarik lagi. Menarik dengan bangga. Tersengih-sengih macam kerang busuk. Dengan berselipar jepun lain warna, dia melangkah laju. Dari kaki sampai ke lutut, terpalit lumpur kehitaman. Bunyi bising tin-tinnya yang berlaga dan bergesel dengan jalan tar betul-betul menggelegak. Semua memandang ke arah Ibrahim. Ada yang menggeleng-geleng simpati, ada yang menahan kemarahan. Kalau tak fikir panjang, kena budak tu agaknya.

“Banyak kamu dapat hari ni, Ibrahim,” ujar Pak Mat sewaktu menimbang tin-tin kosong yang dicari Ibrahim. Pak Mat selaku pembeli besi-besi buruk di kampung itu sudah lama kenal dengan Ibrahim. Sedari umur lima tahun lagi, Ibrahim sudah pandai berdikari. ‘Kasihan, budak ni. Kecik-kecik dah cari duit sendiri,’ kata Pak Mat dalam hati. Hatinya luluh memandang wajah anak kecil yang baru berusia lapan tahun itu. Kalau dilihat kanak-kanak yang sebaya dengannya, sedang enak bermain bola di padang, atau main kejar-kejar, main masak-masak.

Pak Mat menghulurkan RM2.50 pada Ibrahim. Dua ringgit harga tin kosong dan lima puluh sen hadiah darinya. Ibrahim terkinja-kinja dapat duit itu. Dia berkira-kira sendiri. Tabungnya pasti terisi lagi. Tak sabar nak menghitung duitnya di dalam tabung. Hari-hari dibilangnya. Hari ini bertambah lagi. Ibrahim tersenyum lagak orang kaya. Kemudian, dia mengatur langkah pulang setelah duit dimasukkan ke dalam poket seluarnya.

Ibrahim menyangkut bajunya pada tiang rumahnya yang hampir runtuh itu. Ayahnya terbaring di atas katil. ‘Ayah sakit lagike?’ Tanya Ibrahim dalam hati. Sejak setahun lalu, ayahnya selalu sakit-sakit, lelah. Asma yang doktor selalu sebut-sebutkan. Doktor kata, ayahnya terkena asma kerana menyedut habuk dan terdedah dengan debu-debu. Agaknya betullah, sebab ayahnya seorang buruh binaan. Setiap hari dia terpakasa menyedut habuk dan debu simen yang boleh menyebabkan penyakit itu.

Sejak ayahnya sakit-sakit, kehidupan mereka semakin terdesak. Kadang-kadang mereka akan kelaparan kerana tiada sebarang makanan yang boleh dimakan. Sekarang, hidup mereka hanya mengharapkan simpati saudara-mara dan jiran-jiran. Ada yang menghulurkan beras secupak dua. Alhamdulillah, sekurang-kurannya masih ada makhluk yang bersimpati ke atas nasib mereka.

Dipandang ibunya yang leka bermain dengan adiknya yang baru berusia dua tahun. Terdengar suara mengilai ibunya yang sudah lama diangap gila oleh orang kampung. Ibrahim pun tak pasti. Kadang-kadang ibunya nampak biasa sahaja, kadang-kadang keadaan ibunya agak teruk. Ibunya akan bercakap seorang, adakalanya menari dan menyanyi. Agaknya ketika bulan mengambang, penyakit ibunya akan datang. Itupun kata orang. Ibrahim tak pasti itu. Pernah suatu ketika, ibunya membakar dapur rumahnya, tapi mujurlah disedari orang kampung. Kerenah ibunya benar-benar memeningkan kepala ayahnya. Sudah banyak tempat dihantar berubat tapi langsung tidak menunjukkan hasil. Dalam keadaan sekarang, ayahnya membiarkan sahaja ibunya begitu.

Ibrahim memasukkan wang yang diperolehnya di dalam tabung duitnya. Berat terasa. Ibrahim tersenyum. ‘Nanti aku nak bilang,’ Ibrahim tersengih lagi menampakkan barisan giginya yang kekuningan. Baru teringat yang perutnya sejak dari tadi berkeroncong. Bermacam-macam lagu telah berdendang. Dia membuka periuk nasi di dapur. Ada sedikit nasi, tapi lauknya tidak tahu di mana. Puas dia mencarinya. Lalu, Ibrahim merencis kicap manis ke atas nasinya. Dimakannya dengan penuh selera. Itulah makanan Ibrahim untuk menghilangkan rasa laparnya.

Ibrahim memimpin ayahnya ke bilik air. Begitulah rutin Ibrahim apabila ayahnya ditimpa sakit. Langsung dia tidak boleh harapkan pada ibunya. Dengan keadaan ibunya begitu, Ibrahim tahu dialah yang mesti membantu dan menolong ayahnya ketika sakit. Mujurlah ibunya boleh menguruskan adiknya yang masih kecil tanpa menyusahkan orang lain.

“Mak nak pergi mana ni?” Tanya Ibrahim apabila dilihat ibunya sedang mencari-cari selipar di bawah tangga. Ibunya tertonggek-tonggek macam itik menyudu air.
“Mak nak pergi dekat orang kahwin. Ada orang jemput mak nyanyi,” jawab ibunya bersahaja. Adiknya yang masih kecil itu didukung. Tidak pernah ditinggalkan di rumah walaupun sakit gilanya datang. Mulutnya mula menyanyi-nyanyi. Suaranya sedap juga. Lagu Dato’ Siti Nurhaliza. Patutlah dikatanya ada orang jemputnya menyanyi.

“Terciptalah seorang insan…. Lembut budi bak redup pandangan….. pabila berkata….. Seluruh alam…..Bagai menyaksikan kesyahduan……!”

Ayahnya menggeleng-gelengkan kepala melihat isterinya terkedek-kedek berjalan. Dia tahu, isterinya itu mesti akan ke hulu ke hilir mengelilingi kampung, berjalan-jalan tidak tentu arah. Petang barulah pulang. Mujurlah masih lagi teringat akan rumah tangga. Ayahnya tak dapat nak buat apa-apa, apatah lagi dalam keadaan sakit macam sekarang.

Cikgu Aina memandang Ibrahim dari kejauhan. Tak sampai hati sungguh melihat Ibrahim. Murid yang baru darjah dua itu benar-benar menyebabkan hatinya tersentuh.

Ibrahim masuk ke dalam kelas dan terus duduk di bangkunya. Kebanyakan kawan-kawannya tidak mahu mendekatinya kerana bau Ibrahim busuk katanya. Ibrahim bukan tidak mandi, tapi Ibrahim tak pernah guna sabun mandi. Sabun mandi tidak ada di rumahnya. Mandi pula guna air perigi. Kadang-kadang air itu berbau lumpur. Macam bau tahi lembu masa raya korban.

Cikgu Aina masuk ke dalam kelas Tahun 2 Bestari. Semua bangun mengucapkan salam. ‘Cantik baju Cikgu Aina hari ini,’ bisik Ibrahim.

“Sebelum cikgu mulakan pelajaran hari ini, cikgu nak tahu siapa yang dah ingat sifir 6,” Cikgu Aina bertanya sambil menjeling Ibrahim yang sedari tadi tunduk sahaja. Semua murid tidak mengangkat tangan. Ibrahim juga.

“Ibrahim pun tak ingat?” Tanya Cikgu Aina sebab biasanya Ibrahim tidak pernah menghampakannya.
“Ingat, cikgu.” Jawab Ibrahim malu-malu.
“Bagus, cuba Ibrahim baca, semua orang nak dengar,” Cikgu Aina tersenyum menyuruh Ibrahim membaca sifir 6.

Ibrahim membaca sifir 6 dengan kuat. Semua kawan-kawannya dengar.
“Bila kamu hafal sifir 6 ni, Ibrahim?” Tanya Cikgu Aina sebaik sahaja Ibrahim selesai membacanya.
“Saya hafal masa cari tin. Masa tarik tin pun saya hafal,” ujar Ibrahim jujur.
Semua kawan-kawannya tergelak. Ibrahim tergelak sama. Apa Ibrahim tahu. Baginya tiada apa-apa yang salah atau melucukan dalam pekerjaannya.

“Ibrahim hafal masa cari belalang juga, cikgu!” Terdengar suara kawannya yang disambut dengan hilaian ketawa rakan-rakannya yang lain. Ibrahim pun ketawa. Teringat Cikgu Aina, Ibrahim dikenali sebagai Ibrahim Belalang sebab tahun lepas dia membuat bisnes menjual belalang yang ditangkapnya di dalam semak. Belalang yang berwarna kelabu dan perang itu akan melompat-lompat apabila terlepas dari tabung plastik yang menjadi tempat kurungannya. Dia akan menjual dengan harga sepuluh sen seekor. Adakalanya dia mendapat pendapatan sehingga seringgit sehari.

“Kenapa kamu jual belalang, Ibrahim?” Tanya Cikgu Aina dulu apabila ramai ibu bapa yang membuat aduan bahawa Ibrahim menjual belalang kepada muris-murid lain.
“Mereka yang suruh jual cikgu, mereka kata tak pernah tengok belalang, jadi saya pun carilah. Belakang rumah saya banyak.” Jawab Ibrahim jujur. Sememangnya kawan-kawannya bukan macam dirinya. Belalang pun tak pernah tengok. Ibrahim bangga dapat menunjukkan belalang yang dicari kepada kawan-kawannya.
“Mulai sekarang Ibrahim tak payah jual belalang lagi ok. Ibrahim cari benda lain untuk dijual. Tapi, tak boleh jual kat sekolah.” Pujuk Cikgu Aina lembut sambil mengusap-ngusap rambut anak muridnya yang lurus itu.

Cikgu Aina tersenyum. Sejak dari itulah Ibrahim dipanggil Ibrahim Belalang oleh kawan-kawannya.

Dalam perhimpunan mingguan kali ini, guru besar berucap tentang peristiwa yang sedang melanda Gaza, Palestin, bagaimana masyarakat Palestin di Gaza telah diperang habis-habisan oleh Israel dan Yahudi. Mereka dibunuh dengan kejam. Kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua disembelih dan dibunuh tanpa belas kasihan.

Teringat Ibrahim petang semalam, bagaimana dia mengendap-ngendap di celah pintu rumah makciknya untuk menonton televisyen. Kebetulan waktu itu ada siaran tentang Semenanjung Gaza di Palestin. Dia lihat ramai manusia yang menjadi korban keganasan Yahudi. Mayat-mayat manusia bergelimpangan di sana-sini.

“Justeru, marilah kita sama-sama memberi derma untuk diberikan kepada rakyat Palestin yang sedang menderita. Marilah sama-sama kita mengisi Tabung Keamanan Gaza. Berapa sahaja sumbangan kamu walaupun sepuluh sen, sudah cukup menunjukkan keikhlasan kamu. Pengawas sekolah akan mengutip derama dari kelas ke kelas dan kamu boleh memasukkan duit ke dalam tabung yang akan diedarkan nanti. Ataupun, kamu boleh ke bilik HEM untuk menyerahkan sendiri kepada Cikgu Adnan.” Ucap guru besar panjang lebar.

Ibrahim mengangguk-angguk. Teringin dia hendak berderma. Walaupun sedikit jumlahnya, asalkan kita ikhlas, tentu dapat pahala. Kasihan benar dia melihat keadaan penduduk di Gaza, Palestin. Dia mula terfikir tentang wang di dalam tabungnya yang sudah agak berat. ‘Apa salahnya kalau aku ambik sikit. Dapat pahala kalau menderma,’ Ibrahim mengangguk-angguk lagi. Dilihatnya Cikgu Aina yang sedang memandangnya dengan tersenyum. Ibrahim membalas senyuman cikgu yang paling disukainya itu.

Ibrahim mencapai tabung duit simpanannya yang diperbuat daripada botol bedak yang dijumpai di tapak pembuangan sampah. Di tebuknya lubang untuk dimasukkan duit. Tapi tabung itu ringan. Tangan kecilnya menggoncang-goncang botol bedak itu tapi hampa. Botol bedak itu memang kosong.

Air mata Ibrahim mula meleleh. Dah lama dia simpan duit itu. Seagaknya, duit dalam tabungnya itu sudah hampir dua puluh ringgit. Tidak mungkin adiknya Wani yang baru berusia empat tahun itu atau adiknya Khairul yang masih kecil yang mengambilnya. Atau ayahnya? Tak mungkin ayahnya sebab ayahnyalah yang selalu menasihati Ibrahim agar menabung. Kata ayahnya, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Ibrahim mencari-cari lagi. Namun, masih tidak dijumpainya. Dah habis tempat diselongkarnya. Tiba-tiba dilihat ibunya sedang mengunyah sesuatu di sudut dapur. Khairul juga. Ibrahim mula mengesyak sesuatu.

“Mak, mak,” Ibunya tidak berpaling.
“Mak,mak,” Ibunya masih menyuap sesuatu ke mulutnya tanpa mengendahkan panggilan Ibrahim.
“Mak ambik duit Ibrahim ke?” Tanya Ibrahim sebak. Matanya masih berkaca.
“Mak ambik duit Ibrahim ke?” Tanyanya lagi.
Ibunya menghulurkan makanan ringan yang berbungkus-bungkus dari dalam plastik. Sahihlah ibunya yang mengambil kesemua duit simpanan Ibrahim. Masakan tidak, sebab dari mana ibunya dapat duit untuk membeli makanan yang tidak berzat itu berbungkus-bungkus. Ibrahim terduduk kaku. Hati kecilnya betul-betul terasa hampa. Tidak disangkanya ibunya boleh melakukan perkara itu. Ayahnya tidak berkata apa-apa. Mungkin disebabkan kesakitannya, dia hanya melihat. Memang dia terlalu kasihankan Ibrahim tapi apa yang boleh dia buat.

Ibrahim termenung panjang. Sejak sampai ke sekolah pagi tadi, tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Matanya bengkak. Hasratnya untuk menderma tergendala. Hasratnya untuk membantu rakyat Palestin dengan ikhlas tidak kesampaian.

Waktu rehat hari itu, Ibrahim bersandar pada pokok ketapang di tepi padang sekolahnya. Orang yang lalu lalang di hadapannya, langsung tidak dihiraukannya. Kadang-kadang terdengar kawan-kawannya mengejek. “Belalang kat depan kau tu banyak, tangkaplah!” Ibrahim langsung tidak berpaling. Biasanya dia akan ketawa dan menjawabnya dengan bersahaja. Ibrahim tidak kisah apa yang orang kata.

“Ibrahim, kenapa duduk di sini?” Tanya Cikgu Aina menghampiri Ibrahim yang sedari tadi dilihatnya bersandar pada pokok ketapang itu. Sejak di dalam kelas lagi diperhatikan gerak lagu anak muridnya yang paling cerdik matematik itu. Walaupun miskin, Ibrahim tetap belajar dengan bersungguh-sungguh. Dan, tidak hairanlah Ibrahim selalu mendapat markah tertinggi di dalam kelasnya.

Ibrahim masih membatu. Terasa macam ada batu yang tersekat di kerongkongnya untuk menjawab pertanyaan Cikgu Aina.

“Ibrahim dah makan?” Tanya Cikgu Aina sabar.
Ibrahim menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kenapa, Ibrahim tak ada duit?” Tanya Cikgu Aina lagi.

Ibrahim lantas mengeluarkan duit sebanyak dua puluh sen dari poket baju sekolahnya. Baju itu setahu Cikgu Aina adalah hadiahnya awal tahun ini, tapi keadaan baju itu semacam sudah dua tahun dipakai, sedangkan baru sahaja setengah tahun sesi persekolahan. Baju yang berwarna putih itu sudah kekuningan dan ada bintik-bintk hitam di sekeliling kolar bajunya. Ibunya yang berkeadaa begitu langsung tidak menghiraukan kain baju anaknya. “Kasihan Ibrahim!” Hanya itu yang mampu dilafazkannya.

“Habis, kalau ada duit, kenapa tak beli makanan?” Cikgu Aina bertanya sambil memegang dagu Ibrahim. Sejuk rasa hati Ibrahim apabila terasa tangan lembut gurunya itu. Selama ini, ibunya tidak pernah lakukan itu kepadanya.

Cikgu Aina tahu, selama ini hanya dua puluh sen yang dibawa Ibrahim ke sekolah. Hanya cukup untuk membeli dua ketul keropok. Tapi, Ibrahim tak pernah merungut. Ibrahim tak pernah mengeluh.

“Mak saya ambik duit yang saya kumpul, cikgu. Saya nak derma tabung Palestin.” Ujar Ibrahim yang mula menangis.
“Ibrahim, cikgu tahu niat murni Ibrahim, tapi kalau kita tidak mampu, kita tak perlu menderma.” Pujuk Cikgu Aina. Tangannya mengusap-usap rambut Ibrahim.
“Tapi, saya dah niat nak menderma. Mak saya betul-betul tak patut, cikgu.”
Cikgu Aina turut mengalirkan air mata. Kasihan sungguh pada muridnya yang seorang itu. Dia tahu sudah lama Ibrahim menabung. Belanja sekolah hanya dua puluh sen. Dia belum pernah jumpa murid yang macam Ibrahim. Penderitaan keluarga Ibrahim benar-benar mematangkan dirinya.
“Ibrahim, mak Ibrahim kan sakit. Tak apalah dia ambil pun. Diakan mak Ibrahim. Tak baik tau tuduh mak Ibrahim macam tu. Tak apalah….nanti Ibrahim kumpul lagi, ok. Tin-tin kat rumah cikgu banyak, cikgu kumpul untuk Ibrahim. Nanti Ibrahim datang ambil ye?”
Hati Ibrahim mula berbunga. Hatinya kembali sejuk. Suara lembut Cikgu Aina telah melenyapkan kemarahannya. Ibrahim tersenyum.
“Ha, macam tu lah. Oklah, cikgu nak masuk bilik guru dulu. Nanti Ibrahim belikan cikgu air teh ye? Cikgu dahagalah.” Cikgu Aina berkata sambil menghulurkan duit seringgit kepada Ibrahim. Ibrahim mengangguk-angguk. Kebiasaanya dia akan menolong Cikgu Aina membeli air di kantin sekolah.
“Terima kasih, cikgu sebab cikgu banyak nasihat Ibrahim selama ni.” Cikgu Aina melemparkan senyuman yang paling manis. Hanya untuk anak murid kesayangannya itu.

“Cikgu, air!” Jerit Ibrahim apabila tiba di muka pintu bilik guru. Cikgu Aina mendongak dari kerjanya menulis buku rekod pengajaran dan pembelajaran, kemudian menuju ke arah Ibrahim. Dia mengambil air teh yang berbungkus plastik itu. Dia menghulurkan duit seringgit kepada Ibrahim. Dia tahu Ibrahim akan menolaknya kerana Ibrahim tidak pernah menerimanya sebelum ini. Dia tahu Ibrahim tentu lapar kerana kemungkinan sedari malam tadi dia belum makan.
“Tak mengapalah, cikgu. Cikgu simpan saja duit tu, terima kasih.” Tolak Ibrahim lembut.
“Cikgu ikhlas, Ibrahim. Apa salahnya Ibrahim ambil kali ini. Cikgu ikhlas. Ambillah.” Ibrahim terasa ada tarikan pada pemberian Cikgu Aina kali ini. Ibrahim memikirkan sesuatu. Lantas dia mengambil duit seringgit tersebut.
“Terima kasih, cikgu.”
Cikgu Aina tersenyum. Kemudiaan dilihat Ibrahim berlari dengan laju. Dia mula berdebar-debar melihat kelainan Ibrahim, lantas diikut jejak Ibrahim.
Ibrahim menuju ke bilik HEM, Cikgu Adnan. Kerana tidak berhati-hati, kakinya tersadung pada seketul batu sepenumbuk. Bibirnya berdarah. Cepat-cepat Ibrahim bangun. Dikesatnya dengan lengan baju sekolahnya. Habis kemerahan.
Ibrahim mengetuk pintu bilik Cikgu Adnan. Cikgu Adnan yang leka menulis amat terkejut. Pintu dibuka. Dilihatnya Ibrahim sedang tersenyum dengan bibir yang berdarah. Bajunya kotor diselaputi darah merah yang menitik dari bibirnya yang luka.
“Ada apa, Ibrahim?” Tanya Cikgu Adnan tegas. Dia ingat Ibrahim hendak melaporkan yang dia ditumbuk oleh budak-budak nakal.
Cikgu Aina muncul di belakang Ibrahim. Terpinga-pinga dengan tindakan Ibrahim.
“Cikgu, saya nak menderma untuk Tabung Gaza.” Lantas Ibrahim meletakkan duitnya yang seringgit itu ke dalam tabung yang tertulis Derma Dana Gaza, Palestin.
“Terima kasih, Cikgu.” Ucap Ibrahim kepada Cikgu Aina. Cikgu Aina sudah tidak tahan lagi untuk mengalirkan air mata. Matanya bergenang memandang Cikgu Adnan. Lautan kaca pada matanya sudah hampir tumpah. Dipandangnya Ibrahim yang masih kecil itu. Hati Ibrahim terlalu suci. Betapa keihklasan Ibrahim tidak pernah berkesudahan. Dia lantas memeluk Ibrahim dengan penuh kasih sayang.

1 comment:

PAK21 NORMAL BAHARU

https://www.flipsnack.com/RynnYusuf/pak21-normal-baharu-cp5gi3nvxn.html